KUALA LUMPUR 25 Nov – SBS Nexus Bhd yang dalam proses penyenaraian di Pasaran ACE menandatangani perjanjian penajaan jamin bersama M&A Securities hari ini.
Dalam kenyataan, SBS Nexus berkata, di bawah perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta individu layak di bawah kuota borang merah jambu bagi tawaran awam permulaan (IPO).
Ketua Pegawai Eksekutif SBS Nexus, Wong Chun Mun berkata penajaan jamin tersebut mencerminkan keyakinan M&A Securities terhadap asas perniagaan syarikat, selain menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan menuju status syarikat tersenarai di Pasaran ACE.
“Penandatanganan perjanjian ini bukan sahaja mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap kami, tetapi membawa kami selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian,” katanya.
Dalam kenyataan terdahulu, SBS Nexus menyasarkan pelancaran IPO pada suku pertama 2026, melibatkan terbitan saham baharu serta tawaran jualan saham pegangan sedia ada.
Harga IPO akan ditentukan kemudian.
SBS Nexus terlibat dalam perkhidmatan penjenamaan dan pemasaran secara luar talian dan digital, termasuk perhubungan awam, pengurusan acara, penyiaran digital, produksi video, pembangunan aplikasi mudah alih serta laman web.
Syarikat itu turut menganjurkan anugerah perniagaan dan acara rangkaian profesional.
Wong berkata masa penyenaraian adalah tepat memandangkan sektor penjenamaan dan pemasaran tempatan berada dalam fasa pertumbuhan pesat dengan peluang baharu yang semakin luas.
Dana hasil penerbitan saham baharu akan digunakan bagi menubuhkan ibu pejabat baharu, pengambilan kakitangan untuk pengembangan ke pasaran Melayu serta aktiviti pemasaran.
Hasil jualan saham sedia ada pula akan diagihkan kepada Wong; pengarah eksekutif, Piah Yee Ling; ketua pegawai operasi, Warren Cheng; ketua digital, Lai Kian Chuan; ketua perniagaan, Lim Cheng Yong; serta pemegang saham Foo Woon Yew melalui kenderaan pelaburannya, Alphabets Assets Sdn Bhd.
Kesemua pemegang saham utama ini dijangka memegang 65% kepentingan secara kolektif selepas penyenaraian. - DagangNews.com








