KUALA LUMPUR 14 Feb — Sektor kewangan Sarawak bersedia untuk memperoleh autonomi lebih besar apabila Affin Bank menubuhkan ibu pejabat wilayahnya di Kuching yang membolehkan kelulusan pinjaman diproses secara tempatan dan bukannya di Kuala Lumpur.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkembangan tersebut semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan, dan Serian.
“Bank berkenaan bakal menubuhkan ibu pejabat wilayah di Kuching serta kemudian mereka diberi mandat untuk dapat meluluskan pinjaman berdasarkan kepada jumlah tertentu secara terus di sini di Kuching, dan bukan lagi di Kuala Lumpur.
"Langkah ini juga akan mempercepatkan lagi kemajuan komuniti perniagaan, khususnya peniaga perusahaan kecil dan sederhana, untuk anda boleh melaksanakan pembiayaan apa sahaja aktiviti perniagaan yang anda mahu lakukan,” katanya.
Sarawak baru-baru ini memperoleh sebanyak 31.25 peratus pegangan majoriti dalam Affin Bank, sekali gus menjadikannya sebagai negeri pertama di Malaysia yang memegang kepentingan terbesar dalam pengawalan sebuah bank perdagangan.
Abang Johari turut menekankan kepada prestasi ekonomi Sarawak yang kukuh sepanjang 2024, dengan negeri tersebut berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM14.2 bilion.
“Akhir tahun lepas, hasil perolehan semasa akaun kewangan negeri kita ditutup didapati melonjak sedikit dua kali ganda sejak saya mengambil alih jawatan sebagai ketua kerajaan Sarawak kira-kira tujuh tahun lalu.
"Justeru kita (kerajaan Sarawak) menjangkakan bahawa bersempena kedatangan Tahun Ular kali ini untuk 2025 pula, pendapatan boleh menjadi yang lebih baik daripada tahun lepas," katanya dalam nada cukup optimis.
Ibu pejabat wilayah Affin Bank di Kuching adalah sebahagian daripada strategi ekonomi lebih luas merangkumi projek infrastruktur utama seperti lapangan terbang antarabangsa baharu, pelabuhan laut dalam dan syarikat penerbangan negeri sendiri, AirBorneo.
“Kunci ekonomi berkembang maju ialah kesalinghubungan yang lancar – sama ada dalam infrastruktur, pengangkutan atau akses kewangan. Dengan inisiatif ini, kita memastikan perniagaan Sarawak dapat bersaing di peringkat tertinggi,” kata Abang Johari.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri itu terhadap aspek keterangkuman ekonomi, kelestarian alam sekitar, dan perpaduan sebagai prinsip panduan untuk pembangunan jangka panjang.
“Dengan itu, sekali lagi, terima kasih banyak-banyak dan marilah kita bekerjasama untuk memastikan Sarawak agar terus maju,” jelas beliau mengakhiri ucapannya.
Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Gabungan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan, dan Serian untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti mereka.
Turut hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Richard Wee; dan Pengerusi Penganjur, Datuk Lau Sie Lok. - DagangNews.com








