Sarawak peruntuk RM1.96 bilion naik taraf projek bekalan air di Kapit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak peruntuk RM1.96 bilion naik taraf projek bekalan air di Kapit

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.96 bilion bagi projek naik taraf kemudahan bekalan air di Kapit bagi meningkatkan liputan dan akses kepada air bersih penduduk kawasan tersebut. 

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan tambahan dana RM300 juta untuk projek tersebut.

 

“Peruntukan ini bertujuan memastikan akses air bersih dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Kapit dan mencerminkan komitmen serius kerajaan negeri untuk memastikan kemudahan itu dapat diakses dengan mudah oleh rakyat,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Sarawak (SDCCM) di Kapit, semalam.

 

Dalam mesyuarat itu, beliau turut dimaklumkan mengenai maklumat terbaharu projek-projek negeri di Kapit daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, serta Upper Rajang Development Agency (URDA).

 

Tambahnya, selain projek air, Kerajaan Sarawak turut membangunkan beberapa projek jalan penting termasuk projek jalan di Merirai dengan peruntukan RM122 juta yang akan menghubungkan Baleh, empangan dan penempatan di kawasan pedalaman.

 

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan bahawa URDA dan RECODA menerima pusingan kedua peruntukan sebanyak RM1.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP) untuk melaksanakan dan meneruskan projek-projek yang termasuk bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

Terbaharu, Sarawak merasmikan pejabat URDA di Kapit selaras hasrat kerajaan negeri memperkasakan lagi pelaksanaan pembangunan demi kesejahteraan rakyat di wilayah itu dan memastikan pembangunan pedalaman dijalankan secara tersusun dan mampan.

 

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan sebanyak 41 projek bernilai RM1.5 bilion telah diluluskan di bawah URDA, merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air serta pembangunan Pelan Induk Kapit, dengan 19 projek telah siap dilaksanakan. 

 

 

 

 

 

 

Pelan Induk Kapit bertujuan memastikan pertumbuhan bandar yang tersusun dan mampan di kawasan itu.

 

Selain itu, URDA turut melaksanakan 24 projek sosioekonomi melalui program COMMUNITY@SCORE bagi meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar. - DagangNews.com