KUCHING 2 Jan - Kerajaan Sarawak memuktamadkan pengambilalihan penuh MASwings Sdn Bhd melalui entiti milik penuhnya, AirBorneo Holdings Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Januari 2026, menandakan satu langkah strategik penting dalam memperkukuh kedaulatan dan ketersambungan pengangkutan udara negeri itu.
AirBorneo dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian jual beli bagi pengambilalihan MASwings telah dimeterai antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan Kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.
Bermula 1 Januari 2026, AirBorneo secara rasmi mengambil alih tanggungjawab perundangan dan operasi sepenuhnya ke atas MASwings.
Bagaimanapun, jenama MASwings akan terus digunakan sepanjang fasa peralihan awal, sebelum identiti jenama baharu AirBorneo diperkenalkan secara berperingkat.
ARTIKEL BERKAITAN: AirBorneo: Jawapan Sarawak Terhadap Kos Penerbangan Tinggi
“AirBorneo menghargai kerjasama serta sokongan berterusan daripada para penumpang, rakan strategik dan semua pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini,” menurut kenyataan berkenaan.
AirBorneo turut menegaskan, pengambilalihan tersebut sejajar dengan objektif strategik Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh ketersambungan udara di seluruh negeri, khususnya ke kawasan luar bandar dan pedalaman, selain memastikan kadar tambang yang lebih berpatutan kepada rakyat Sarawak.

Langkah itu juga dilihat sebagai komponen penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri, di samping menyediakan asas kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik negeri.
“Kerajaan negeri Sarawak ingin merakamkan penghargaan kepada semua pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas komitmen serta sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Pengambilalihan MASwings oleh Sarawak mencerminkan usaha berterusan negeri itu untuk meningkatkan autonomi ekonomi dan memperkukuh infrastruktur strategik, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak. - DagangNews.com








