Sarawak lahirkan 174 usahawan belia baharu melalui program SYStartUP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak lahirkan 174 usahawan belia baharu melalui program SYStartUP

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – Sarawak terus memperkasakan ekonomi golongan belia di negeri itu melalui penganjuran program SYStartUP yang kini melahirkan seramai 174 usahawan baharu dengan nilai jualan sebanyak RM830,753 melalui Kohort yang pertama.

 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan kerana memiliki ekosistem lengkap merangkumi latihan intensif, sokongan lanjutan, akses pasaran serta pemantauan berterusan.

 

“Prestasi SYStartUP untuk tahun sangat memuaskan apabila 174 peserta memulakan perniagaan, 110 mendaftarkan syarikat secara rasmi,181 peluang pekerjaan diwujudkan dan 114 outlet baharu beroperasi.

 

“Kejayaan ini menjadikan Sarawak antara negeri yang paling cepat menghasilkan usahawan belia yang aktif, berdikari dan berpotensi berkembang ke tahap komersial,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

 

Tambahnya, Sarawak terus giat memperhebatkan program itu pada tahun ini berikutan prestasi luar biasa dari segi penyertaan, kemajuan perniagaan dan keberhasilan ekonomi dalam kalangan peserta yang terlibat.

 

“Cohort 2 yang berlangsung di Miri dari 8 hingga 15 November menerima 393 permohonan, dengan 150 peserta terbaik dipilih.

 

“Semua peserta berjaya menamatkan modul intensif, menggambarkan minat dan kesediaan tinggi dalam kalangan belia untuk menceburi dunia keusahawanan,” katanya.

 

Bagi memastikan kesinambungan kejayaan tersebut, kementerian memperluas Startup Biz Initiatives ke lima bahagian iaitu di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri yang memberi latihan praktikal kepada lebih 150 alumni merangkumi pemodelan perniagaan, pemasaran digital dan persediaan strategi pasaran. - DagangNews.com