KUALA LUMPUR 19 Feb - Salcon Bhd menerima surat anugerah daripada Pengurusan Aset Air Bhd untuk menggantikan paip lama dan rosak di Kota Bharu, Kelantan, bernilai RM70.52 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan air dan sisa air itu berkata, kontrak itu akan berkuatkuasa selama 24 bulan dan dijangka siap pada 16 Mac 2027.
“Projek itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih Salcon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
"Projek itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pemegang saham syarikat itu," katanya.
Selain itu, Salcon tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko pelaksanaan yang berkaitan dengan projek itu.
"Projek itu adalah kontrak pembinaan dan tidak mempunyai pilihan untuk diperbaharui selepas melepasi tarikh luputnya," katanya. - DagangNews.com








