KUALA LUMPUR 9 Jun — Saham Yinson Holdings Berhad sebenarnya dikhuatiri untuk menyusut dengan teruk sekiranya rancangan pengambilalihan oleh firma Stonepeak Partners menemui kegagalan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara dua risiko kemungkinan penyusutan yang akan terjadi ke atas firma perkhidmatan minyak dan gas itu berikutan spekulasi langkah pemilikan secara persendirian dengan potensi urus niaga bernilai hampir RM9 bilion.
Satu lagi risiko tambahnya, ialah kemungkinan kelewatan dalam penganugerahan kontrak pembinaan kapal jenis pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) baharu jika harga minyak lemah di bawah AS$60 (kira-kira RM254.20) setong.
"Pada pandangan HLIB Research, kami berkeyakinan peluang kebarangkalian lebih daripada 50 peratus potensi penswastaan Yinson boleh menjadi kenyataan dan tidak pun terkejut dengan berita dari Stonepeak tersebut," katanya dalam satu nota kajian.
Pada 6 Jun 2025, saham kumpulan tersebut melonjak ke paras tertinggi lima bulan susulan laporan ada firma di Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan perbincangan eksklusif dengan keluarga Lim yang memegang 26.6 peratus kepentingan Yinson.
Artikel berkaitan: Saham Yinson melonjak susulan laporan potensi diambil alih Stonepeak bernilai RM9 bilion
Yinson bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan laporan portal asing tersebut yang sekiranya perjanjian itu berjaya, nilai permodalan kumpulan berkenaan diramal mampu melonjak sehingga AS$2.1 bilion (kira-kira RM8.88 bilion).
Pada 30 Mei 2025, Yinson melaporkan peningkatan keuntungan bersih bertambah sebanyak 66 peratus bagi tahun kewangan 2025 kepada kira-kira RM1.2 bilion setelah ia berjaya menyelaraskan percukaian operasi firma luar pesisirnya di Belanda.
HLIB Research dalam pada itu berkata, selain usaha pengambilalihan, pemangkin utama kepada potensi lonjakan semula itu ialah jika Yinson berjaya memenangi projek FPSO tambahan yang dijangka menjana hasil AS$1 bilion (kira-kira RM4.24 bilion).
"Berdasarkan kepada pelbagai andaian itu, kami mengulangi saranan 'tambah' ke atas saham Yinson dan harga sasaran sesaham tidak berubah kepada RM3.20 setelah mengambil kira potensi positif pengambilalihan oleh Stonepeak," katanya. - DagangNews.com








