KUALA LUMPUR 1 Dis – Saham Supermax Corporation Bhd merosot ke paras terendah dalam tempoh lebih tujuh tahun apabila pelabur terus bertindak balas terhadap satu lagi kerugian suku tahunan.
Ketika pembukaan dagangan pada Isnin, harga sahamnya jatuh sebanyak 2.5 sen atau kira-kira 7% kepada 34.5 sen, paras terendah yang kali terakhir dicatatkan pada April 2018.
Saham itu diniagakan pada 36 sen dengan hampir lapan juta saham bertukar tangan, memberikan kumpulan ini permodalan pasaran sebanyak RM1.18 bilion berdasarkan harga terakhir.
Sementara itu, CIMB Securities, yang baru-baru ini menurunkan penarafan saham itu kepada ‘reduce’ daripada ‘hold’, meletakkan harga sasaran terendah pada 31 sen.
Menurut CIMB Securities, keputusan Supermax untuk membangunkan kilang di Amerika Syarikat bagi mendekati pelanggan di negara itu dijangka menyebabkan struktur kos yang lebih tinggi berbanding pesaing.
Firma penyelidikan itu turut memberi amaran mengenai risiko pelaksanaan susulan peningkatan operasi di AS yang lebih perlahan daripada jangkaan, yang boleh terus memberi tekanan kepada pendapatan kumpulan.
Prestasi saham yang lemah ini sejajar dengan kedudukan asas syarikat yang masih rapuh, apabila Supermax telah kehilangan lebih dua pertiga nilai pasaran setakat tahun ini, dengan siri kerugian suku tahunan tidak terputus sejak 2023, selepas syarikat hanya mencatat keuntungan bersih kecil pada tahun tersebut.
Tekanan terhadap sektor ini terus memuncak apabila industri sarung tangan global berdepan lambakan bekalan besar-besaran, susulan kemasukan agresif pemain dari China yang memperluaskan kapasiti pengeluaran di negara-negara Asia Tenggara bagi mengelak tarif Amerika Syarikat.
Dalam masa yang sama, banjiran sarung tangan buatan China ke pasaran luar AS turut menekan harga dan margin pengeluar tempatan termasuk Supermax. - DagangNews.com








