KUALA LUMPUR 26 Nov – Saham DRB-Hicom Bhd jatuh mendadak selepas syarikat itu mengumumkan kerugian suku tahunannya yang terbaharu, menimbulkan kebimbangan pelabur serta reaksi lebih berhati-hati daripada penganalisis berikutan prospek perniagaan yang suram.
Dua firma penyelidikan iaitu Public Investment Bank dan Hong Leong Investment Bank (HLIB) menurunkan saranan mereka kepada “jual”.
Selain itu, Kenanga Investment Bank turut mengekalkan penarafan “underperform” dan hanya satu firma broker iaitu Citi Research yang masih mengekalkan saranan beli selepas pengumuman kewangan terbaharu itu.
HLIB berkata, mereka kekal berhati-hati terhadap persekitaran pasaran automotif di Malaysia yang mencabar, selain prestasi unit pos dan pertahanan syarikat yang terus mengurangkan keuntungan.
Saham DRB-Hicom jatuh sehingga 16 sen atau 12% kepada RM1.14 iaitu paras terendah sejak 13 Oktober, dengan lebih daripada empat juta unit saham bertukar tangan pada pukul 10 pagi tadi.
Pada harga semasa, syarikat itu mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM2.2 bilion.
Menurut Bloomberg, harga sasaran purata kini ialah 97 sen, menunjukkan potensi penurunan sehingga 16% dalam tempoh 12 bulan akan datang.
DRB-HICOM masih mencatat kenaikan hampir 9% setakat tahun ini kerana pelabur meletakkan harapan pada kenderaan elektrik yang dilancarkan oleh unit automotif utamanya, Proton Holdings Bhd.
DRB Hicom yang turut memasang kenderaan untuk jenama seperti Honda dan Audi menghadapi tekanan daripada penurunan keyakinan pengguna serta persaingan sengit daripada jenama Cina dengan harga lebih kompetitif, yang dijangka menekan margin keuntungan dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan syarikat.
Public Invest berkata, aliran masuk jenama Cina yang ditawarkan pada harga lebih rendah akan meningkatkan persaingan, menekan keuntungan dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan DRB Hicom.
Semalam, DRB-Hicom, melaporkan prestasi kewangannya bagi suku ketiga 2025 yang kembali mencatat kerugian kerana prestasi lemah beberapa anak syarikat pentingnya.
Selepas dua suku mencatat keuntungan, syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM15.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025.
Walaupun pada peringkat kumpulan DRB-Hicom masih untung, sebahagian besar keuntungan itu sebenarnya milik rakan kongsi dalam anak syarikat, bukan kepada pemegang saham biasa.
Dalam laporan itu, DRB-Hicom menjangka baki tahun ini akan lebih mencabar dengan faktor luar seperti keadaan pasaran dan ekonomi yang perlahan dijangka menekan prestasi keseluruhan kumpulan menjelang penghujung 2025. - DagangNews.com








