Sabah rangka pelan 2026-2030 perkasa industri minyak dan gas hiliran, Beaufort dikaji sebagai lokasi baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah rangka pelan 2026-2030 perkasa industri minyak dan gas hiliran, Beaufort dikaji sebagai lokasi baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Kerajaan Sabah sedang merangka strategi jangka sederhana bagi memperkukuhkan industri minyak dan gas hiliran negeri itu menerusi pembangunan pelan hala tuju baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030.

 

Inisiatif berkenaan bertujuan memberikan arah tuju yang lebih tersusun kepada pembangunan sektor tersebut, termasuk usaha meningkatkan aktiviti bernilai tambah, menarik pelaburan serta memperluaskan penyertaan pemain industri tempatan dalam rantaian bekalan minyak dan gas.

 

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penyediaan pelan hala tuju itu adalah antara keputusan penting yang dicapai dalam Persidangan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSE) yang berlangsung bulan lalu.

 

Beliau berkata, pelan berkenaan akan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam merancang pembangunan industri hiliran secara lebih menyeluruh, sebelum dibentangkan kepada Kabinet Negeri Sabah untuk pertimbangan.

 

Selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri, pelan tersebut akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju sektor itu.

 

Lokasi industri baharu masih dalam penelitian

Dalam perkembangan berkaitan, cadangan pembangunan taman perindustrian di Kimanis tidak akan diteruskan selepas kajian awal mendapati projek berkenaan berdepan cabaran besar dari aspek pengambilan tanah.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum berkata, kawasan berkenaan melibatkan pengambilan tanah daripada lebih 1,500 pemegang hak milik yang akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan negeri.

 

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kerajaan Sabah perlu menilai semula kesesuaian lokasi tersebut bagi memastikan pembangunan industri dapat dilaksanakan secara lebih berdaya maju.

 

Sebagai pilihan alternatif, Mindet kini sedang mengkaji Beaufort sebagai lokasi baharu berikutan kedudukannya yang mempunyai potensi strategik selain melibatkan keperluan pengambilan tanah yang lebih rendah.

 

Kerajaan negeri masih mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi menilai kesesuaian Beaufort sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

 

Langkah itu sebahagian daripada usaha Sabah membina ekosistem minyak dan gas hiliran yang lebih kukuh serta mampu memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada negeri itu. - DagangNews.com