Sabah Electricity jadi Anchor pertama Sabah di bawah Program Pembangunan Vendor Nasional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah Electricity jadi Anchor pertama Sabah di bawah Program Pembangunan Vendor Nasional

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – Sabah Electricity Sdn Bhd menjadi syarikat Anchor pertama dari Sabah yang menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah inisiatif pembangunan vendor nasional, sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh keupayaan vendor Bumiputera tempatan dalam sektor tenaga di negeri itu.

 

Melalui pelantikan ini, Sabah Electricity akan memainkan peranan utama membimbing dan membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan melalui pelbagai program peningkatan kapasiti, keupayaan teknikal serta peluasan penyertaan mereka dalam rantaian bekalan tenaga. 

 

Inisiatif ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti usahawan tempatan di Sabah.

 

Pelantikan Sabah Electricity sebagai syarikat Anchor dimeterai menerusi majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

 

Di bawah pelaksanaan PPV, Kementerian Kewangan menyediakan kemudahan insentif potongan cukai dua kali ganda kepada syarikat Anchor yang terlibat, manakala KUSKOP bertanggungjawab memproses dan menyokong permohonan tersebut bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh vendor tempatan.

 

Ewon dalam ucapannya berkata, pelantikan Sabah Electricity sebagai Anchor merupakan langkah strategik bagi memperkukuh agenda penskalaan PMKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

“Ia selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan nasional dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehingga September 2025, sebanyak 20 syarikat vendor telah berdaftar di bawah PPV di Sabah, melibatkan lima Anchor sedia ada termasuk SD Guthrie, TM Technology Services Sdn Bhd, Uzma Engineering Sdn Bhd, TH Plantations Bhd dan Ameen Products Sdn Bhd. 

 

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Sabah turut merekodkan tujuh penerima manfaat di bawah dua program utama iaitu Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) berjumlah RM3 juta.

 

Bagi RMK-13, KUSKOP menyasarkan 15 penerima manfaat di Sabah, bersamaan 12.5% daripada sasaran nasional, melibatkan lima penerima bagi GIPV dan 10 bagi PPKV dengan unjuran keseluruhan pembiayaan sebanyak RM57 juta termasuk peruntukan RM11.5 juta bagi fasa pertama 2026 (RP1). 

 

MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun dan dilanjutkan secara automatik bagi tempoh tambahan tiga tahun sekiranya tiada notis pembatalan.

 

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh pembangunan vendor tempatan dan memperluas peluang pasaran bagi usahawan Sabah, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keadilan ekonomi agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh. - DagangNews.com