RNG Tech raih hasil RM17 juta bagi 1QFY26 dipacu segmen kerusi urut layan diri, menjelang penyenaraian Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RNG Tech raih hasil RM17 juta bagi 1QFY26 dipacu segmen kerusi urut layan diri, menjelang penyenaraian Pasaran ACE

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 JunRNG Tech Berhad mencatatkan prestasi kukuh dengan perolehan pendapatan mencecah sebanyak RM16.89 juta bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26).

 

Menurut kumpulan pengendali kerusi urut layan diri berbayar jenama 'Rest N Go' itu, perkembangan positif ini adalah baik menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Julai 2026 kelak.

 

Pencapaian kukuh ini didorong sepenuhnya segmen perkhidmatan urut layan diri yang menyumbang sebanyak RM16.12 juta atau sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

"Momentum positif ini turut memperlihatkan kesediaan syarikat untuk dapat melangkah ke papan bursa dengan kedudukan kewangan yang stabil," jelas RNG Tech dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan tersebut ujarnya, mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.48 juta, dengan pasaran Malaysia masih lagi adalah kekal sebagai penyumbang utama iaitu kira-kira RM10.04 juta.

 

Keadaan ini tambah syarikat berkenaan, diikuti oleh Thailand (RM3.68 juta) dan Singapura (RM2.16 juta), manakala keuntungan perolehan sesaham (EPS) kumpulan itu pula ialah sebanyak 0.42 sen.

 

RNG Tech_DagangNews2026

 

Mengenai tawaran awam permulaan (IPO), operator mesin urut layan diri terbesar di Malaysia itu bakal mengumpul dana kasar berjumlah RM16.39 juta melalui terbitan saham pada harga 13 sen seunit.

 

"RNG Tech berhasrat memperuntukkan RM4.90 juta bagi menambah stesen Rest N Go dan cawangan premium baharu, manakala RM2.18 juta digunakan untuk menaik taraf kemudahan yang sedia ada," katanya.

 

Langkah tersebut ujarnya, dijangka meningkatkan pengalaman pengguna, sementara baki selebihnya pula akan dimanfaatkan untuk pembayaran balik pinjaman, perbelanjaan pemasaran, dan modal kerja.

 

Bagaimanapun, di sebalik prestasi kewangan positif, kumpulan itu turut memaklumkan mengenai isu cabaran pelesenan yang dihadapi ketika ini melibatkan sebanyak 16 stesen dan cawangan premium.

 

Premis itu jelas RNG Tech, masih menunggu kelulusan lesen perniagaan dan papan tanda oleh pihak berkuasa tempatan, daripada keseluruhan 1,438 lokasi di Malaysia, serta beberapa negara jiran.

 

"Syarikat ini namun menegaskan yang operasi di lokasi terbabit kemungkinan terpaksa dihentikan sekiranya lesen tersebut terus gagal diperoleh menjelang akhir tahun kewangan 2026," tambahnya.

 

Buat masa ini, kumpulan berkenaan kekal proaktif dalam berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyelesaikan segera isu tersebut, serta memastikan kelangsungan operasi tidak terjejas.

 

Dengan rangkaian lokasi strategik luas di rantau ASEAN, RNG Tech optimis dapat mengekalkan momentum pertumbuhan melalui pengukuhan jenama dan inovasi rumusan digital. - DagangNews.com