RM30 juta naik taraf stesen KTM Butterworth, lonjak projek pengangkutan RM16 bilion di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM30 juta naik taraf stesen KTM Butterworth, lonjak projek pengangkutan RM16 bilion di Pulau Pinang

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Nov – Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM30 juta bagi menaik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth, sekali gus melengkapkan rangka pembangunan hab pengangkutan utama Penang Sentral di Seberang Perai yang dijangka menjadi nadi mobiliti dan logistik baharu di utara tanah air.

 


Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rancangan Rolling Kelima (RP5) dan proses pelantikan kontraktor dijangka dimuktamadkan bulan hadapan, sebelum kerja pembinaan dimulakan tidak lama selepas itu.

 


“Semua tiga mod pengangkutan iaitu KTM, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Komuter, akan diintegrasikan dengan feri Pulau Pinang serta Laluan LRT Mutiara di Penang Sentral.

 


“Ini adalah konsep Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu yang menghubungkan pelbagai mod di satu lokasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2025.

 


Menurut Loke, integrasi sistem tersebut akan memastikan pembangunan di Pulau Pinang seimbang antara pulau dan Seberang Perai, serta menjadikan Penang Sentral pusat tumpuan utama ekonomi dan mobiliti di wilayah utara.

 


Beliau turut mengumumkan beberapa projek besar lain bagi memperkukuh infrastruktur logistik dan penerbangan negeri itu.

 


Antaranya, projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan terminal kargo udara di Bayan Lepas, yang akan digerakkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Kapasiti kargo udara akan digandakan daripada tiga kepada enam petak parkir pesawat,” katanya sambil menjelaskan MAHB turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membangunkan tapak logistik baharu di Batu Maung bagi menarik penyertaan pemain logistik antarabangsa.

 


Mengulas lanjut, Loke berkata, projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM16 bilion itu akan menjadi pemangkin utama pembangunan pengangkutan Pulau Pinang, dengan jajaran sepanjang 29.5 kilometer dan 21 stesen, termasuk sambungan ke Seberang Perai seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 


“Kerajaan Persekutuan memberikan komitmen penuh bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan.

 


“LRT Mutiara, peluasan LTAPP dan naik taraf Stesen KTM Butterworth akan menjadi denyut nadi pembangunan Pulau Pinang, memastikan negeri ini kekal sebagai hab industri elektrik, elektronik dan semikonduktor serantau,” katanya.

 


Beliau turut menegaskan gabungan projek berimpak tinggi itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan mobiliti awam dan logistik, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat industri bernilai berbilion ringgit di rantau Asia-Pasifik. - DagangNews.com