KUALA LUMPUR 21 Nov – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat sedikit kepada AS$124.1 bilion setakat 21 November 2025 berbanding AS$123.4 bilion pada 15 Oktober 2025.
Menurut kenyataan rasmi bank pusat itu hari ini, paras tersebut memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Katanya, komponen utama rizab antarabangsa BNM ialah rizab mata wang asing sebanyak AS$109.6 bilion serta kedudukan dalam Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mencatatkan AS$1.3 bilion.
"Dalam pada itu, Hak Pengeluaran Khas (SDR) pula adalah AS$5.9 bilion; manakala emas sebanyak AS$4.8 bilion dan aset rizab lain berjumlah AS$2.5 bilion," tambah kenyataan bank berkenaan.
Dari segi ringgit, jumlah aset keseluruhan BNM ialah RM617.7 bilion yang antaranya merangkumi emas, tukaran asing dan SDR (RM522.9 bilion); serta kertas kerajaan Malaysia (RM13.42 bilion).
Sementara deposit dengan institusi kewangan pula ialah RM1.24 bilion, pinjaman dan pendahuluan, (RM28.13 bilion); tanah dan bangunan (RM4.57 bilion) serta aset-aset lain (RM47.5 bilion).
Jumlah modal dan liabiliti ialah RM617.78 bilion termasuk modal berbayar (RM100 juta); rizab (RM203.7 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.3 bilion) dan deposit institusi kewangan (RM125.46 bilion).
Selain itu, deposit kerajaan persekutuan (RM9.14 bilion), deposit lain (RM65.6 bilion), kertas BNM (RM8.39 bilion), peruntukan SDR (RM27.87 bilion) serta liabiliti lain (RM3.19 bilion). - DagangNews.com








