KUALA LUMPUR 1 Ogos – Malaysia mungkin telah mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengehadkan tarif eksport ke negera itu kepada 19 peratus, namun penganalisis memberi amaran bahawa langkah itu masih membawa risiko terhadap aliran perdagangan dan sentimen pelabur.
CIMB Treasury and Markets Research berkata, walaupun Malaysia berjaya mengelak daripada kadar tarif tertinggi dalam julat 10 hingga 41 peratus, kadar 19 peratus tersebut masih jauh lebih tinggi berbanding paras sedia ada dan dijangka menjejaskan daya saing eksport negara.
“Kelonggaran tarif ini memberi kelegaan jangka pendek, namun ia tidak mengubah arah dasar perdagangan AS yang kini semakin cenderung kepada proteksionisme,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.
Malaysia bersama Thailand mencapai kadar tarif yang dikurangkan hasil rundingan langsung dengan AS, manakala negara lain seperti Kanada dan Mexico berdepan tarif yang lebih tinggi atau tertangguh di bawah perintah eksekutif baharu Presiden Donald Trump.
Kerangka tarif baharu yang akan berkuat kuasa pada 7 Ogos itu dibuat berdasarkan imbangan perdagangan dan status perjanjian dua hala, dengan kadar lebih tinggi dikenakan kepada negara yang tidak mempunyai perjanjian atau dilihat tidak bekerjasama.
Menurut CIMB Research, pendirian tegas Malaysia untuk mengekalkan dasar ekonomi negara – termasuk kuota pemilikan ekuiti Bumiputera – semasa rundingan, berkemungkinan mengehadkan ruang untuk konsesi tarif yang lebih besar.
“Malaysia menetapkan sempadan jelas mengenai kedaulatan nasional, dan ini telah mengehadkan ruang rundingan lanjut,” kata firma itu, sambil menambah kadar akhir yang diberikan kepada Malaysia adalah hampir sama dengan yang diperoleh Vietnam dan Indonesia dalam rundingan serupa.
Cabaran kepada pelaksanaan RMK13
Firma tersebut turut mengulas bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyediakan pelan jangka sederhana yang merangkumi reformasi fiskal serta sasaran pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus, namun cabaran perdagangan yang baharu ini boleh menjejaskan pelaksanaan rancangan tersebut.
Di pasaran mata wang, ringgit ditutup susut 0.6 peratus kepada 4.2650 berbanding dolar AS, menghapuskan kenaikan awal menjelang pembentangan RMK13. Berita mengenai tarif turut memberi tekanan kepada mata wang Asia yang lain, termasuk baht Thailand dan rupiah Indonesia.
“Tindak balas pasaran mencerminkan ketidaktentuan mengenai pelaksanaan serta nada geopolitik di sebalik langkah ini. Pelabur kini semakin melihat kesan perdagangan sebagai isu struktur, bukan sekadar gangguan sementara,” kata CIMB Research.
Walaupun tarif tidak dikenakan pada tahap paling tinggi, firma tersebut tidak menjangkakan aliran pelaburan akan pulih dalam masa terdekat memandangkan pasaran modal masih sensitif terhadap risiko geopolitik.
“Pelabur dijangka terus mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga terdapat lebih kejelasan berhubung penguatkuasaan serta risiko tindakan balas,” tambahnya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijadual mengadakan sidang media petang ini bagi menyatakan pendirian rasmi mengenai kadar tarif baharu itu.
Amerika Syarikat telah menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh akhir untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan China, yang dijangka akan terus merubah landskap serantau.
“Sebarang peningkatan ketegangan, khususnya jika rakan dagang utama seperti China atau EU bertindak balas, boleh meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang sukar. Buat masa ini, kita telah mengelak senario terburuk, namun laluan ke hadapan tetap mencabar,” kata CIMB Research. - DagangNews.com








