RHB Investment jangka keputusan 4QFY24 Kelington lebih kukuh, pendapatan 3QFY24 sejajar dengan anggaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment jangka keputusan 4QFY24 Kelington lebih kukuh, pendapatan 3QFY24 sejajar dengan anggaran

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Nov - RHB Investment menjangkakan keputusan kewangan suku keempat Kelington Group yang lebih kukuh berdasarkan keuntungan bersih RM40 juta pada 3QFY24 yang menjadikan pendapatan 9MFY24 kumpulan kepada RM90 juta, sejajar dengan anggaran tahunan firma tersebut. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu yang menumpukan kepada perniagaan gas industri (IG) menyaksikan margin mencecah paras tertinggi baharu bagi suku tersebut pada 22.8%.

 

Walaubagaimanapun, pendapatan sehingga kini (YTD) kumpulan jatuh kepada 15% akibat penyiapan beberapa projek ketulenan ultra tinggi (UHP) yang menyebabkan sumbangan Singapura dan Malaysia merosot. 

 

"Kumpulan itu mencatat pertumbuhan 31% YoY didorong oleh pembukaan Loji cecair karbon dioksida (LCO2) kedua pada Mac yang membantu meningkatkan kapisiti pengeluaran tahunan kepada 120,000 tan. 

 

"Kami kekal optimistik terhadap potensi pertumbuhan perniagaan IG, dengan peningkatan permintaan daripada pasaran Oceania, Afrika dan Indonesia," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

RHB Investment berkata, buku pesanan Kelington dijangka padat pada 12 bulan akan datang yang melibatkan projek UHP (74%) diikuti oleh projek proses kejuruteraan (PE,13%) dan kontrak am (GC,12%). 

 

"Kami juga menjangkakan lanjutan dasar perlindungan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump akan memberi manfaat kepada Kelington dengan pengembangan agresif kapasiti domestik China akan diteruskan," katanya.

 

Sementara itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kelington dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.90 bagi satu saham.- DagangNews.com