KUALA LUMPUR 15 Okt – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan memegang lesen memandu Singapura boleh mula mendaftar untuk program subsidi petrol BUDI95 melalui laman web khas iaitu budi95lesensg.jpj.gov.my.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan untuk mendapatkan kelayakan subsidi itu boleh dibuat bermula esok, 16 Oktober 2025.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memudahkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, terutama mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu sokongan dan pekerja operasi.
“Untuk makluman, menurut peraturan lesen pemandu di Malaysia dan Singapura, seseorang itu hanya dibenarkan memegang satu lesen sah sahaja, sama ada lesen Malaysia atau Singapura.
“Oleh itu, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terutama yang bertugas sebagai pemandu terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia mereka untuk mendapatkan Lesen Memandu Singapura.
“Ini melibatkan mereka yang berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan berdaftar Malaysia yang digunakan di dalam negara ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi menangani isu tersebut, kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan laman web khas, budi95lesensg.jpj.gov.my, bagi membantu Kementerian Kewangan menilai dan memproses permohonan subsidi daripada kumpulan ini.
Semua permohonan yang diterima akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk semakan lanjut dan pertimbangan kelayakan dengan kelulusan akhir bergantung kepada kementerian berdasarkan kriteria skim subsidi BUDI95.
“Pemohon boleh menyemak status kelayakan 14 hari selepas penghantaran melalui portal rasmi BUDI95 di www.budi95.gov.my.
“Pemohon mesti warganegara Malaysia, memegang lesen memandu Singapura yang sah dan memiliki permit kerja Singapura yang sah.
“Bagi rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi diwajibkan memegang lesen Singapura, mereka boleh memohon semula lesen memandu Malaysia selepas membatalkan lesen Singapura mengikut prosedur sedia ada,” kata kementerian itu.
Peraturan yang menetapkan BUDI95 adalah hanya untuk kenderaan yang berdaftar di Malaysia masih dikekalkan.
Permohonan lesen Malaysia baharu boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ di negara ini setelah pihak berkuasa Singapura mengesahkan tiada sekatan, penggantungan atau kesalahan berkaitan lesen yang dibatalkan itu.
Langkah ini dijangka membantu memudahkan urusan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat manfaat daripada subsidi petrol BUDI95. - DagangNews.com








