KUALA TERENGGANU 11 Nov – Kerajaan Negeri Terengganu akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang akan menjadi hab utama dalam penyelidikan, analisis dan pembangunan teknologi berkaitan mineral strategik, termasuk mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Pusat itu akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan negeri dalam pembangunan industri mineral, merangkumi penyelidikan saintifik, inovasi teknologi dan pembangunan produk berasaskan mineral strategik, sekali gus menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi di peringkat negeri dan kebangsaan.
Bagi melaksanakan perancangan itu Kerajaan Negeri melalui MBI Modal Sdn. Bhd. (MBIM), yang dilantik sebagai pelaksana eksklusif dan pemegang konsesi projek NR-REE, sedang menjalankan kajian awal di kawasan berpotensi yang mengandungi batuan granit.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti lokasi alternatif untuk aktiviti eksplorasi, memandangkan sebahagian besar kawasan yang dikenal pasti sebelum ini terletak dalam Hutan Simpan Kekal.
“MBIM juga menunggu kelulusan lesen memfosik daripada Pejabat Tanah dan Galian serta sedang memuktamadkan Memorandum Persefahaman bersama Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk sektor pertengahan industri NR-REE.
“Selain itu, MBIM aktif mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi Persekutuan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi meneroka peluang pelaburan, kerjasama teknikal dan pemindahan teknologi.
“Semua aktiviti eksplorasi dan pembangunan NR-REE turut tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bagi memastikan operasi industri tidak menjejaskan ekosistem, biodiversiti dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) yang ingin tahu perancangan jangka masa sederhana dan panjang kerajaan Terengganu untuk membangunkan indusri NR-REE di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Tambah Mohd Nurkhuzaini, kerajaan negeri juga menekankan pembangunan rantaian penuh industri NR-REE merangkumi sektor upstream, midstream dan downstream, termasuk pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, penubuhan kemudahan R&D dan galakan kepada pelabur menubuhkan kemudahan pemprosesan serta penapisan di negeri ini.
“Usaha ini dijangka mewujudkan industri bernilai tinggi, membuka peluang pekerjaan berkemahiran serta meningkatkan pendapatan isi rumah, terutamanya di kawasan luar bandar, menjadikan Terengganu peneraju utama industri NR-REE di Pantai Timur menjelang 2030,” katanya.- DagangNews.com








