TAPAH 25 Nov - Pelaburan sebanyak RM100,000 dibuat kerajaan negeri Perak bagi merangsang industri kopi di negeri ini menerusi pembukaan Pusat Pemprosesan Kopi Perak.
Inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian negeri Perak itu dilihat dapat melengkapkan keseluruhan rantaian pengeluaran kopi di negeri itu.
Ia dibangunkan di atas tanah seluas 0.04 hektar di Kampung Baru Bukit Pagar di sini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai antara pengeluar utama kopi Liberica

Menurut beliau, pusat pemprosesan yang mempunyai kapasiti memproses 12 metrik tan biji kopi dalam tempoh setahun itu akan mula beroperasi sepenuhnya pada Disember.
“Pusat itu dilengkapi mesin dan peralatan pemprosesan utama termasuk ‘depulper’, ‘husker’, ‘dryer’, ‘moisture meter’, dan ‘grading machine’.
“Selain itu terdapat kemudahan rumah hijau serta ruang operasi yang turut berfungsi sebagai pusat sehenti bagi sesi libat urus bersama petani dan usahawan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pusat tersebut terbuka kepada petani dan usahawan dari seluruh negeri Perak serta negeri berdekatan bagi memproses biji kopi jenis Liberica atau Robusta sehingga ke peringkat kopi beras.
“Sejak 2019, pelbagai inisiatif pembangunan industri kopi telah digerakkan melalui peruntukan kerajaan Persekutuan dengan Perak diiktiraf sebagai zon utama penanaman kopi varieti Liberica.


“Walaupun kurang popular berbanding Robusta dan Arabica, Liberica mempunyai aroma dan cita rasa unik serta semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar kopi.
“Sehubungan itu, pendekatan komunikasi lebih agresif, strategi pengkomersialan lebih tersusun serta penglibatan industri hiliran yang lebih luas diperlukan bagi meningkatkan nilai dan permintaan terhadap kopi Liberica,” jelas Mohd. Zolkafly.
Perak ketika ini menghasilkan kira-kira 235 metrik tan kopi bernilai RM1.76 juta setahun manakala keluasan tanaman kopi Liberica adalah 29.41 hektar.
Menjelang tahun 2026 Perak merancang membuka 15 hektar kawasan tanaman baharu bagi meluaskan lagi industri kopi. - DagangNews.com








