Pulau Pinang bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulau Pinang bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion, menjadikannya salah satu belanjawan negeri terbesar setakat ini. 

 

Belanjawan itu turut mencatat defisit terendah dalam sejarah negeri sebanyak RM19.92 juta, berbanding RM33.63 juta pada 2025, menunjukkan pengurusan kewangan negeri yang berhati-hati dan mampan.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, belanjawan itu dirangka untuk memastikan pengurusan fiskal yang berhemat sambil memberi manfaat langsung kepada rakyat, sejajar dengan Wawasan Penang2030 dan kerangka Malaysia Madani. 

 

“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1.051 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Bekalan, RM37.07 juta untuk Perbelanjaan Tanggungan manakala RM265 juta disalurkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) bagi menyokong komitmen pembangunan bernilai RM318.62 juta.

 

“Sebanyak RM226.73 juta atau 20.84% daripada Perbelanjaan Mengurus adalah melibatkan emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM200.51 juta, 18.43%); aset (RM3.59 juta, 0.33%); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM645.73 juta, 59.35%) dan perbelanjaan lain (RM11.38 juta, 1.05%).

 

“Secara perbandingan, anggaran Perbelanjaan Mengurus tahun 2026 menunjukkan peningkatan RM147.72 juta atau 15.71 peratus berbanding tahun 2025,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di George Town hari ini.

 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan 122 projek pembangunan pada tahun depan, termasuk beberapa projek strategik dan berdampak tinggi. 

 

t
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow

 

Antaranya ialah pengambilan tanah untuk projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara, Fasa 2 projek Gurney Bay, pembangunan Pulau Silikon dan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. 

 

“Projek lain termasuk pembesaran Muzium Negeri dan Galeri Seni, naik taraf Bukit Bendera, pembinaan asrama Majlis Sukan Negeri, serta bangunan baru untuk Mahkamah Syariah Timur Laut. 

 

“Projek komuniti seperti Dewan Batu Maung, Dewan Kampung Baru Alma dan Taman Senangin Hall turut diteruskan,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan 10 projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bernilai RM283 juta yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang. 

 

Tambahnya, Pulau Pinang juga berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi RM916 juta sehingga November tahun ini. 

 

“Jumlah itu adalah melebihi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan berjumlah RM906.59 juta.

 

“Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 juga telah menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran pada 7 Ogos 2025,” katanya.

 

Beliau berkata, belanjawan ini bukan sahaja fokus kepada pembangunan fizikal, tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif inklusif dan mampan.

 

“Pengurusan kewangan yang cermat, pelaksanaan projek pembangunan strategik serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan memastikan Pulau Pinang terus maju sebagai negeri yang berdaya saing, mampan dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak 0.75 gaji dengan bayaran minimum RM1,000 kepada seramai 3,954 penjawat awam negeri. 

 

BKK akan dibuat pada Disember 2025 melibatkan unjuran implikasi kewangan sebanyak RM11.49 juta. - DagangNews.com