Public Gold lancar mesin ATM emas berkuasa Fintech pertama dunia di Dubai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Public Gold lancar mesin ATM emas berkuasa Fintech pertama dunia di Dubai

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Nov – Syarikat emas Malaysia, Public Gold, mencatat sejarah di pentas global apabila melancarkan mesin ATM emas berkuasa fintech pertama di dunia di Dubai.

 

Pelancaran perintis ini menjadi lonjakan besar kepada usaha memperluas akses emas fizikal secara global menerusi teknologi runcit canggih.

 

Pelancaran bersejarah itu berlangsung di Dubai Precious Metals Conference (DPMC) 2025 yang diadakan di Atlantis The Palm, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 November, dengan Public Gold DMCC tampil sebagai Rakan ATM Emas Rasmi acara berprestij tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

DMCC yang ditubuhkan pada 2002 menyumbang kira-kira 15% daripada keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam UAE dan berperanan sebagai pemacu ekonomi utama serantau.

 

Penubuhan Public Gold DMCC mengukuhkan tapak operasi Public Gold di Timur Tengah.

 

Pelancaran ATM emas berkuasa fintech ini adalah hasil kerjasama strategik Public Gold DMCC dengan Emirates Gold yang dimeterai pada Mei 2025.

 

Emirates Gold membekalkan emas fizikal serta perkhidmatan penyimpanan selamat, manakala Public Gold menguruskan teknologi fintech, operasi, perkhidmatan pelanggan dan infrastruktur ATM.

 

Kini, produk Emirates Gold boleh diakses secara langsung melalui rangkaian ATM emas Public Gold di seluruh UAE. Setiap mesin mampu memuatkan lebih 70 reka bentuk jongkong emas, dengan berat antara 0.25g hingga 5g emas 999.9.

 

Mesin ATM pintar ini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dan menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna. Ia membolehkan pembelian emas menggunakan e-dompet atau kad kredit, pengeluaran emas fizikal daripada akaun digital, serta pengambilan pesanan dalam talian.

 

Selain itu, mesin ini turut menyokong penukaran kripto kepada emas dan penebusan emas bertoken secara selamat dari kebal simpanan, menjadikannya sebuah platform serba lengkap untuk urusan emas moden.

 

Pelancaran ini turut menyokong visi strategik DMCC, termasuk inisiatif DMCC FinX yang mensasarkan untuk merapatkan jurang pembiayaan perdagangan bernilai $2.5 trilion.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Public Gold DMCC, Jerry Ng dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaian tersebut meletakkan Malaysia dan Dubai di barisan hadapan inovasi emas global.

 

“Pelancaran ATM emas berkuasa fintech ini memecahkan halangan tradisional dan menjadikan pemilikan emas fizikal lebih mudah, selamat dan tanpa sempadan. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Emirates Gold serta beroperasi dalam ekosistem DMCC yang dipercayai,” katanya.

 

Menurut beliau, teknologi ini membuka akses revolusioner kepada pengguna serta pelabur dalam pasaran logam berharga.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Gold, Abhijit Shah berkata, kerjasama ini menetapkan penanda aras baharu dalam industri emas global.

 

“Pelancaran perintis ini menggabungkan kepakaran penapisan bertaraf dunia dengan teknologi fintech termaju. Ia menetapkan standard baharu bagaimana emas boleh dibeli, disimpan dan ditebus secara lebih selamat dan mudah,” katanya.

 

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Multi Commodities Centre (DMCC), Ahmed Sulayem, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Gold, Abhijit Shah, Ketua Pegawai Pemasaran Public Gold DMCC, Jerry Ng serta Pengurus Besar Public Gold DMCC, Firat Sekerci.

 

Sebagai sebahagian daripada peluasan rangkaian, Emirates Gold menyasarkan penempatan 35 hingga 40 unit ATM emas berkuasa fintech di seluruh UAE pada 2026, menjadikannya rangkaian terbesar seumpamanya di Timur Tengah.

 

 

 

 

 

 

Unit pertama dijadualkan ditempatkan di Almas Tower bermula November 2025, sebelum diperluaskan ke destinasi utama lain di seluruh UAE dan rantau sekitarnya.

 

Inisiatif ini sekali gus menonjolkan peranan Malaysia sebagai pemain penting dalam inovasi emas global, di samping menyokong kedudukan UAE sebagai hab emas fizikal moden bertaraf dunia, serta memperkukuh daya saing eksport bernilai tinggi negara. - DagangNews.com