PSP Energy sasar kumpul RM34.2 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PSP Energy sasar kumpul RM34.2 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov – PSP Energy Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM34.2 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) sebagai langkah menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan perdagangan dan pengedaran produk bahan api serta pelincir itu akan menggunakan RM15 juta (43.9%) daripada hasil IPO untuk pembelian kapal bunker bagi memperluaskan operasi perniagaannya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan PSP Energy, Ong Chee Seng berkata, pengambilalihan kapal bunker sedia ada akan membolehkan syarikat mencapai tahap operasi dengan lebih cepat. 

 

“Kami bercadang untuk mengukuhkan lagi segmen ini melalui pengambilalihan kapal bunker tambahan yang akan meningkatkan kapasiti bunkering kami. 

 

“Operasi ketika ini disokong oleh tiga kapal dan kami merancang untuk menambah sebuah kapal bunker dengan kapasiti sekurang-kurangnya 2.0 megaliter,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pendapatan perniagaan bunkering syarikat meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan berganda (CAGR) 11.7% dalam tempoh tiga tahun, daripada RM106.1 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kepada RM147.8 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

 

Selain itu, beliau berkata, RM12 juta (35.1%) daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pembelian produk bahan api terutamanya diesel dan minyak gas marin, bagi meningkatkan jumlah jualan.

 

“Langkah ini akan meningkatkan kapasiti jualan dan membolehkan syarikat melayani lebih ramai pelanggan.

 

“Ia juga memudahkan penggunaan segera kapal bunker tambahan dan mengkomersialkan hab perkhidmatan bunkering berasaskan pelabuhan yang bakal dibuka di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka, membolehkan bahan api yang diperoleh disalurkan ke aset ini untuk dijual,” katanya.

 

Selain itu, RM1 juta (2.9%) akan digunakan untuk pembelian tujuh lori tangki baharu, bagi menggantikan aset lama dan menambah bilangan lori tangki syarikat. Baki hasil IPO akan diperuntukkan kepada modal kerja am sebanyak RM1.3 juta (3.8%) dan kos penyenaraian dianggarkan RM4.9 juta (14.3%).

 

Dalam IPO ini, PSP Energy akan mengeluarkan 213.8 juta saham baharu dan menawarkan 74.82 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20% dan 7% daripada jumlah modal saham diterbitkan selepas penyenaraian sebanyak 1.07 bilion saham biasa. 

 

Daripada 213.8 juta saham baharu, 53.44 juta saham akan ditawarkan kepada orang ramai di Malaysia melalui undian, manakala 48.1 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan PSP di bawah peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Selain itu, 53.44 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala baki 58.82 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

 

PSP Energy dijangka mempunyai nilai pasaran RM171 juta selepas penyenaraian, berdasarkan harga IPO 16 sen sesaham, dengan penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 4 Disember 2025.

 

Mercury Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bersama manakala AmInvestment Bank Bhd bertindak sebagai ejen penempatan bersama bagi IPO ini. - DagangNews.com