KUALA LUMPUR 14 Okt – Powertechnic Group Berhad dijangka terus kukuh selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan prospek pertumbuhan pendapatan bersih teras sebanyak 20.5% setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Malacca Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu disokong oleh peningkatan permintaan daripada pembangunan perindustrian negara dan projek strategik di selatan tanah air.
Powertechnic bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Oktober dengan harga IPO RM0.35 sesaham, namun Malacca Securities menyasarkan kenaikan 20% dengan harga RM0.42 sesaham.
Ditubuhkan pada tahun 2002, Powertechnic menyediakan penyelesaian menyeluruh sistem platform bertingkat merangkumi reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan penyelenggaraan.
Produk jenama “Powertechnic” merangkumi sistem kren dan hoist, platform tinggi serta lif kargo dan kediaman.
Malacca Securities berkata, pertumbuhan syarikat dijangka dipacu oleh tiga faktor utama iaitu aliran projek berterusan daripada pembangunan Zon Khas Ekonomi Johor-Singapura (JSSEZ), permintaan lebih kukuh di seluruh negara hasil pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan penetapan semula kadar cukai efektif kepada 24% akan berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2026.
“Kedudukan strategik Powertechnic di Johor memberi kelebihan besar untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat di JSSEZ.
“Ini terbukti dengan lonjakan hasil dari wilayah selatan sebanyak 33.8% CAGR dalam tempoh tiga tahun,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Selain itu, Powertechnic juga mengembangkan pasaran menerusi kempen pemasaran digital di Singapura, yang mencatat pertumbuhan hasil tiga tahun sebanyak 246.9%.
Syarikat itu kini menguasai 2% pasaran peralatan platform bertingkat dan pengendalian di Malaysia.
Ia merancang menubuhkan dua bilik pameran dan pejabat jualan baharu masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak bagi memperluas capaian pasaran.
Berdasarkan prestasi kewangan, pendapatan Powertechnic meningkat 30.7% kepada RM40 juta pada tahun kewangan 2024 berbanding RM30.6 juta pada tahun sebelumnya. Keuntungan bersih teras pula naik 10% kepada RM3.7 juta.
Struktur pemegang saham utama selepas penyenaraian ialah Pengarah Urusan, Ivan Na Keh Chai (34.9%), Pengarah Eksekutif, Choo Chee Yong (34.9%) dan Choo Chee Siang (2.2%).
Bagaimanapun, Malacca Securities turut memberi amaran terhadap beberapa risiko seperti pergantungan kepada kontrak tidak berulang, kebergantungan kepada pembekal utama serta turun naik harga bahan mentah seperti keluli.
“Namun, syarikat mempunyai modal pasaran kecil, potensi pertumbuhan hasil dan kedudukan strategik dalam industri memberikan prospek positif kepada pelabur jangka sederhana dan panjang,” kata firma tersebut.
Powertechnic dijadualkan menutup permohonan IPO pada 14 Oktober, dengan tarikh pengundian pada 16 Oktober dan peruntukan saham pada 24 Oktober. - DagangNews.com








