Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai bernilai RM1.7 bilion dijangka mula beroperasi pada 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai bernilai RM1.7 bilion dijangka mula beroperasi pada 2029

KUALA LUMPUR 12 Nov – Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion yang melibatkan 6.4 kilometer (km) sepanjang laluan utama atau 15 km secara keseluruhan termasuk tanjakan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana, dijangka siap dan beroperasi menjelang 2029.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru.

 

“Sebaik sahaja siap dalam tempoh 48 bulan, pengguna jalan raya dijangka dapat menjimatkan masa sehingga 25 minit ketika bergerak dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya, hasil daripada peningkatan tahap perkhidmatan jalan raya,” katanya semasa majlis pecah tanah projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam hari ini.

 

NPE 2 akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan di Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, sambil membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, perdagangan dan perkhidmatan.

 

Mengulas lanjut, Nanta berkata, projek ini akan dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd tanpa sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

 

“Ini adalah contoh utama kejayaan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur yang mampan,” katanya.

 

Mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), Nanta berkata enam syarikat telah menyatakan minat untuk membida projek tersebut.

 

“Sistem MLFF akan dilaksanakan secara perniagaan-ke-perniagaan (B2B), membolehkan penyedia perkhidmatan berurusan terus dengan syarikat konsesi lebuh raya sedia ada.

 

“Kerajaan sedang mencari sistem yang cekap dan dipacu oleh kecerdasan buatan untuk memastikan perjalanan pengguna jalan raya lebih lancar dan selamat,” katanya. - BERNAMA