Projek pembinaan kilang penapisan petroleum bernilai RM15.5 bilion di Sipitang cipta 5,000 peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pembinaan kilang penapisan petroleum bernilai RM15.5 bilion di Sipitang cipta 5,000 peluang pekerjaan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) pada majlis pelancaran kilang penyimpanan dan penapisan petroleum Petroventure di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) pada 18 Februari 2025. Gambar/Jabatan Ketua Menteri Sabah

KUALA LUMPUR 20 Feb - Pembinaan kilang penyimpanan dan penapisan petroleum di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang akan bermula pada April 2025, dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) lebih RM15.5 bilion dan mencipta hampir 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kilang tersebut yang dimiliki oleh Petroventure Energy Sdn Bhd itu juga akan memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai pemain utama serantau dalam industri minyak dan gas.

 

"Projek ini akan melibatkan pembinaan sebuah kilang penapisan dengan kapasiti sehingga 150,000 tong sehari (BPD) serta kemudahan penyimpanan minyak yang mampu menyimpan 3 juta meter padu minyak mentah dan produk petroleum yang telah diproses.

 

"Semasa fasa pembinaan, lebih 3,000 pekerja diperlukan, manakala fasa operasi akan memerlukan lebih 1,000 pekerja tetap," katanya semasa majlis perasmian projek berkenaan di SOGIP kelmarin, seperti laporan The Malay Mail.

 

Katanya, perkembangan itu menunjukkan kemajuan positif dalam usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah.

 

"Saya sentiasa menekankan kepentingan untuk mengutamakan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini," jelasnya.

 

Beliau pada masa sama turut menyeru semua pemain industri untuk mematuhi keperluan asas tersebut sebagai prinsip utama dalam komitmen terhadap pembangunan tempatan.

 

Tambah beliau, projek itu juga akan merangkumi pembangunan sebuah jeti, kemudahan penapisan minyak, makmal ujian petroleum dan bangunan pentadbiran.

 

Hajiji turut menyatakan keyakinan, pelbagai kajian alam sekitar yang dilakukan oleh Petroventure, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), akan memastikan projek tersebut dibangunkan secara lestari, selaras dengan keperluan industri dan komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar.

 

SOGIP telah menarik pelaburan berimpak tinggi, termasuk pelaburan berperingkat RM20 bilion oleh Esteel dalam kilang keluli hijau.

 

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sabah mengumumkan projek pusat tenaga, minyak dan gas bernilai RM8.88 bilion yang melibatkan kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) dan Gibson Shipbrokers Limited. - DagangNews.com