Projek pembangunan semula Wisma Budaya bernilai RM70 juta belum dimuktamadkan - KTI Landmark | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pembangunan semula Wisma Budaya bernilai RM70 juta belum dimuktamadkan - KTI Landmark

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Pemaju hartanah berpangkalan di Sabah, KTI Landmark Bhd menjelaskan pengumuman terbaharunya mengenai cadangan pembangunan semula Wisma Budaya di Kota Kinabalu bukan bermaksud syarikat telah memperoleh projek tersebut.

 

Sebaliknya ia hanya melibatkan Surat Hasrat (LOI) yang belum ada keputusan muktamad daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

 

KTI Landmark dalam satu kenyataan memaklumkan, LOI yang didedahkan dalam pemfailan Bursa Malaysia pada Selasa (14 Okt) hanya bertujuan menjadi asas perbincangan dan rundingan lanjut, tertakluk kepada kelulusan serta pemeteraian perjanjian muktamad antara kedua-dua pihak.

 

“LOI ini bukan anugerah kontrak yang muktamad. Pada peringkat ini, tiada kontrak yang diberikan kepada KTI Landmark Bhd bagi projek pembangunan semula Wisma Budaya. 

 

“Sebarang kenyataan yang mengatakan sebaliknya adalah salah tafsiran terhadap pengumuman Bursa kami,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KTI Landmark peroleh kontrak RM70 juta bina ibu pejabat baharu Kementerian Pelancongan Sabah

 

Baru-baru ini, KTI memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, KTI Sdn Bhd, telah menerima LOI untuk membangunkan ibu pejabat baharu bagi kementerian negeri yang akan dinamakan Wisma KEPKAS. 

 

Projek tersebut melibatkan kerja merobohkan bangunan sedia ada Wisma Budaya di Jalan Wisma Budaya dan membinanya semula.

 

Jumlah kos pembangunan projek berkenaan dianggarkan sebanyak RM70 juta. 

 

Sekiranya dimuktamadkan kelak, projek itu adalah tambahan kepada portfolio projek berkaitan kerajaan negeri yang semakin berkembang di bawah KTI.

 

Ini termasuk cadangan pembinaan kompleks kebudayaan bernilai RM107 juta di Kinarut dan kontrak bernilai RM130.6 juta daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk membina kampus Akademi Binaan Malaysia di Papar. - DagangNews.com