Projek naik taraf Pangkalan TUDM Butterworth bernilai RM131.6 juta tajaan Kementerian Pertahanan Australia dimulakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek naik taraf Pangkalan TUDM Butterworth bernilai RM131.6 juta tajaan Kementerian Pertahanan Australia dimulakan

Pangkalan Udara Butterworth yang turut menempatkan beberapa unit RAAF.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Mac - Projek menaik taraf kemudahan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang dimulakan bagi penambahbaikan infrastruktur sedia ada.

 

TUDM dalam kenyataan memaklumkan, projek ini merupakan tajaan Project Indo Pacific Enhanced Engagement (IPACE) yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2026. 

 

 

Menurut kenyataan tersebut, ini merupakan sebahagian usaha strategik Malaysia dan Australia untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan pengoperasian Pangkalan Udara Butterworth ke tahap optimum.

 

“Simbolik majlis pecah tanah sempena permulaan projek Malaysia-Australia Infrastructure Airfield Works Project (Stage 1) ini disempurnakan Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi Salehin mewakili TUDM bersama Pegawai Memerintah 19 Skuadron (Skn), Wing Commander Belinda Edmunds mewakili Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

 

Pesawat

 

Pesawat

 

“Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini adalah pegawai dan anggota TUDM dan RAAF serta wakil syarikat yang dilantik bagi melaksanakan projek iaitu syarikat AECOM sebagai penyelia projek dan syarikat Avionic Fajarbaru Joint Venture (AFBJV),” ujar kenyataan itu.

 

Pada Februari lalu, Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) menerusi anak syarikat milik penuhnya, FBG Builder Sdn. Bhd. dan Avionics Pty Ltd (APL) dianugerahkan kontrak bernilai RM131.6 juta daripada Kementerian Pertahanan Australia untuk menaik taraf kemudahan ketenteraan di Pangkalan TUDM Butterworth.

 

Jumlah kontrak untuk fasa penghantaran kedua adalah sebanyak RM131.6 juta, dengan FBG Builder menerima RM75.9 juta manakala bahagian APL adalah sebanyak RM55.7 juta.

 

Kerja-kerja terlibat termasuklah penambahbaikan kemudahan di pangkalan seperti memperbaiki permukaan lapangan terbang, sistem pencahayaan di tanah, sistem saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan kemudahan lain yang berkaitan.

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat rondaan maritim P-8A Poseidon RAAF semasa singgah di Pangkalan Udara Butterworth dalam satu operasi.

 

Pesawat
Skuadron pesawat Hornet TUDM yang beroperasi di Pangkalan Udara Butterworth.

 

Pangkalan Udara Butterworth bukan sahaja digunakan TUDM tetapi juga menempatkan beberapa unit RAAF seperti 19 Skn dan Rifle Company Butterworth.

 

Ia antara pangkalan yang dijadikan pusat latihan dan operasi bersama antara kedua-dua negara.

 

19 Skn misalnya merupakan sebahagian daripada Gerup Sokongan Tempur RAAF dan juga satu-satunya skuadron pangkalan negara itu yang terletak di luar Australia.

 

Skuadron ini menyediakan sokongan operasi pangkalan udara kepada unit tentera Australia yang beroperasi dari Butterworth serta yang menjalankan latihan di kawasan serantau.

 

Pangkalan TUDM Butterworth juga merupakan ibu pejabat bagi sistem pertahanan udara bersepadu Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) melibatkan Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand. - DagangNews.com