KUALA LUMPUR 27 Feb – Dua firma penyelidikan berbeza mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap Swift Haulage Berhad apabila prestasi segmen utama terus berdepan tekanan margin pada FY25.
Mereka menilai meskipun kumpulan logistik itu mencatat keputusan tahunan memenuhi jangkaan, isu kritikal yang menjadi tumpuan ialah penyusutan margin dalam segmen pengangkutan darat (LT).
Di samping itu jelas penganalisis, margin pergudangan dan depot (W&CD) turut jatuh, jumlah kontena yang lebih lembap, manakala sahamnya kini diniagakan pada paras premium berbanding purata sektor.
Berdasarkan perkembangan itu, MBSB Research menurunkan saranan kepada 'jual' daripada 'neutral' tetapi harga sasaran (TP) kekal 35 sen bersandarkan 11 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran FY26.
"Untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi 4QFY25 sebanyak RM8.1 juta menjadikan jumlah setahun RM24.8 juta, bersamaan 97% daripada unjuran kami sendiri," kata firma tersebut.
Berikutan prestasi itu Swift Haulage jelasnya, mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.8 sen, menjadikan jumlah dividen pada FY25 mencecah 1.6 sen dengan nisbah pembayaran kira-kira 56%.
Dari sudut operasi tambah MBSB Research, hasil kumpulan bagi 4QFY25 meningkat 4.4% tahun ke tahun (YoY) didorong oleh penghantaran barang (FF) yang naik 29.2% YoY, dan LT sebanyak 8.5% YoY.
Bagaimanapun kata firma berkenaan, hanya segmen FF mencatat pertumbuhan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 18.6% YoY, disokong oleh aliran kargo projek yang memberi pulangan lebih tinggi.
"Sebaliknya, EBIT LT merosot 71.7% YoY akibat peralihan kepada trak lebih kecil, manakala hasil pengangkutan kontena hanya 0.5% YoY susulan langkah pemeriksaan ketat bagi had muatan," katanya.
MBSB Research menambah, secara suku ke suku (QoQ), PATAMI Swift Haulage didapati teras melonjak 58.9% QoQ dipacu kadar cukai efektif yang lebih rendah, walaupun hasil adalah susut 3.8% QoQ.
Margin W&CD menunjukkan pemulihan kecil dengan kadar penggunaan purata 92% bagi 9MFY25, namun ia berpandangan prestasi terdekat akan bercampur akibat tekanan margin berterusan segmen tertentu.
Artikel berkaitan: Swift Haulage catat hasil RM772.2 juta pada FY25, umum dividen 0.8 sen
Sementara itu, Maybank Investment Bank turut menurunkan penarafan kepada 'jual' daripada 'pegang' dengan TP disemak kepada 35 sen berbanding 41 sen, berasaskan 7 kali unjuran nilai hasil FY26.
"Kami menyifatkan keuntungan bersih teras Swift Haulage pada FY25 sebanyak RM23.7 juta hanya mencapai 77% unjuran, kerana terjejas oleh prestasi lebih lemah dalam LT dan W&CD," katanya.
Secara YoY pula jelas firma itu, keuntungan bersih susut 3% walaupun hasil meningkat 8% kepada RM772.2 juta, akibat margin EBIT yang lebih rendah serta kadar cukai efektif semakin tinggi.
EBIT pengangkutan kontena susut 10% YoY kepada RM23.1 juta, disebabkan penutupan loji pelanggan utama, manakala EBIT LT merosot 39% YoY berikutan peralihan kepada perjalanan jarak dekat.
Begitu juga EBIT W&CD jatuh 20% YoY susulan kadar penggunaan rendah, namun EBIT FF pula melonjak 41% YoY dipacu kargo projek dan sumbangan Aman Logistics selepas diambil alih pada Ogos 2024.
"Bagi 4QFY25, keuntungan bersih naik 9% QoQ kepada RM5.7 juta walaupun hasil menurun 4%, disokong kadar cukai rendah, sementara dividen 0.8 sen diumumkan melebihi unjuran kami," kata Maybank IB.
Melangkah ke FY26, Swift Haulage tambah firma penyelidikan tersebut, dijangka menerima sumbangan awal menerusi projek GVL dan usaha sama rantaian sejuk yang diramal bermula pada tempoh 2Q26.
Ia namun memberi amaran bahawa turun naik margin, kos overhed tinggi dan persaingan harga sengit berpotensi mengehadkan kenaikan keuntungan, meskipun unjuran pada FY26 dinaikkan kepada 4%.
Maybank IB mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prospek kumpulan, dengan risiko margin dan cabaran operasi dalam segmen utama mengatasi pemangkin pertumbuhan daripada perluasan kapasiti.
"Walaupun FF kekal sebagai pemacu pendapatan, kelemahan struktur dalam LT dan W&CD dilihat terus membayangi trajektori pertumbuhan jangka sederhana Swift Haulage," katanya. - DagangNews.com








