Power Root diramal rugi RM2.6 juta sebulan berikutan tiada pengedar di Arab Saudi - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Power Root diramal rugi RM2.6 juta sebulan berikutan tiada pengedar di Arab Saudi - AmInvestment

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jun — Prospek pertumbuhan eksport Power Root Berhad di rantau Asia Barat diramal merosot dengan anggaran kerugian hasil yang mencecah RM2.6 juta sebulan, kata AmInvestment Bank Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan negatif itu berikutan faktor kegagalan kumpulan berkenaan melaksanakan perjanjian di Arab Saudi dan menyebabkan masih tiada lagi pengedar yang dilantik.   


Situasi itu mengakibatkan pasaran eksport Power Root pada tempoh suku keempat menjunam kira-kira 37.7 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM31.5 juta iaitu angka jualan paling rendah sejak 2QFY22.


"Halangan terbesar ialah Arab Saudi, kerana kemelut perjanjian pengedar pernah dilantik sebelum ini belum dimeterai dan melemahkan perolehan FY25 yang merosot 24.1 peratus YoY," kata AmInvestment.


Power Root baru-baru ini mencatatkan keuntungan bersih FY25 sebanyak RM 29.0 juta iaitu 89 peratus di bawah ramalan setahun oleh firma penyelidikan itu disebabkan penurunan 9.3 peratus hasil eksport YoY.


Kemerosotan berkenaan kata firma itu, turut didorong oleh faktor peningkatan bersih dalam perbelanjaan kewangan dan pertambahan kos pekerja meskipun hasil domestik pula bertambah 6.2 peratus YoY. 


Secara positif ujar AmInvestment, dua produk utama, Ah Huat dan Pearl terus mempamerkan pertumbuhan bahagian pasaran manakala Oligo menghadapi masalah dengan saingannya, Milo yang menawarkan promosi besar.


"Selain itu, kumpulan berkenaan berjaya melaksanakan kenaikan harga merentas kebanyakan produk pada Mac 2025, dengan peningkatan yang selanjutnya dirancang untuk jualan Oktober 2025 dan Januari 2026," katanya.


Dari segi kos bahan mentah pula tambah firma itu, Power Root telah mengunci bekalan krim dan kopi dari September 2025 hingga Disember 2026, walaupun kopi diperoleh pada kira-kira 5 peratus lebih tinggi YoY.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, AmInvenstment mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran diturunkan kepada RM1.15 berbanding RM1.20 sebelum ini. - DagangNews.com