Pos Malaysia lantik dua Pengarah Baharu bagi perkukuh kepimpinan syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pos Malaysia lantik dua Pengarah Baharu bagi perkukuh kepimpinan syarikat

Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa (kiri) dan Mano Verabathran
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Feb - Pos Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan dua individu terkemuka ke dalam lembaga pengarahnya, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Mano Verabathran sebagai Pengarah Alternatif, berkuat kuasa serta-merta.

 

Pos Malaysia berkata, dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, pelantikan tersebut mengukuhkan kepimpinan syarikat dalam usaha untuk terus berdaya saing dan memberikan kecemerlangan dalam perkhidmatan pos dan logistik.

 

Katanya, Mohamad Fauzi bin Md Isa membawa lebih 31 tahun pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama.


 
"Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi sejak 12 Disember 2023. Beliau sebelum ini memegang jawatan yang sama di Kementerian Komunikasi dan Digital," menurut penyedia perkhidmatan pos itu dalam satu kenyataan.

 

Menurut Pos Malaysia, Mohamad Fauzi juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung (Dasar dan Kawalan) di Kementerian Dalam Negeri, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) di Jabatan Imigresen Malaysia dan Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi di Jabatan Perkhidmatan Awam. 

 

Tambahnya, beliau juga merupakan Ahli Suruhanjaya di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang menekankan pemahamannya yang mendalam mengenai landskap komunikasi dan digital.

 

Selain itu katanya, Mano Verabathran pula mempunyai kerjaya selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan latar belakang yang kukuh dalam kepimpinan dan strategi. 

 

Jelas syarikat, beliau kini menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Agung (Infrastruktur Telekomunikasi) di Kementerian Komunikasi, jawatan yang disandangnya sejak 19 Jun 2024.

 

Pos Malaysia berkata, antara jawatan beliau sebelum ini termasuklah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Antarabangsa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan. 

 

"Pengalaman beliau yang pelbagai di pelbagai kementerian akan memberikan panduan berharga dalam hala tuju strategik Pos Malaysia," ujarnya.

 

Pelantikan itu mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk mengukuhkan tadbir urus dan kepimpinan syarikat dalam menghadapi industri pos dan logistik yang semakin berkembang. - DagangNews.com