KUALA LUMPUR 19 Nov – Dalam usaha memperkukuh kerjasama antara negeri, Senari Synergy Sdn Bhd (SSSB) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang dalam sektor tenaga dan penjanaan elektrik di Terengganu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy , Datuk Jefri Ahmad Tambi dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman, dengan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Pengerusi Senari Synergy, Datuk Amar Dr Abdul Aziz Datuk Husain.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kerjasama ini akan membuka peluang ekonomi baharu untuk negeri itu terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan untuk bakat tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama tersebut menyasarkan kira-kira 1,000 pekerjaan bagi rakyat Terengganu.
Kerjasama ini menyerlahkan semangat perkongsian antara Sarawak dan Terengganu dalam memajukan agenda transformasi tenaga Malaysia di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR) serta menunjukkan komitmen kedua-dua negeri untuk inovasi, pembangunan lestari, dan kemajuan nasional.
Sementara itu Dr Ahmad Samsuri berkata, pihaknya berharap perkongsian ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, termasuk sasaran sekitar 1,000 jawatan untuk rakyat Terengganu.
“Keutamaan kami ialah memastikan komuniti tempatan memperoleh manfaat secara langsung daripada pembangunan industri tenaga lestari dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Dr Abdul Aziz berkata, Sarawak telah memperoleh manfaat besar daripada pembangunan infrastruktur tenaga dan ekosistem industri.
“Kami berbangga berkongsi pengalaman ini dengan rakan kongsi di Terengganu. Ia bukan sekadar pemindahan pengalaman, tetapi pertukaran kekuatan dan idea,” katanya.
“Kerjasama ini adalah simbol bagaimana negeri-negeri di Malaysia boleh saling mengangkat sambil memacu negara ke arah kecemerlangan tenaga di peringkat global,” katanya lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, MoU ini akan menjadi asas bagi inisiatif bersama dalam penjanaan tenaga, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, penambahbaikan infrastruktur dan pemudahcaraan pelaburan, dengan kedua-dua pihak komited menyokong transformasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan bernilai tinggi. - DagangNews.com








