KUALA LUMPUR 27 Mac - Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan di Kedah, PMCK Bhd, memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk penyenaraian di Pasaran ACE.
PMCK berkata, ia berhasrat untuk menggunakan hasil yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai rancangan pengembangan syarikat, termasuk projek PMC Kulim bernilai RM193 juta.
Projek berkenaan merangkumi pembangunan bercampur dan pembinaan sebuah pusat perubatan 12 tingkat yang dijadualkan siap pada suku pertama 2028.
Pengarah Urusan PMCK, Datuk Lee Gaik Cheng berkata, penyenaraian itu membolehkan syarikat mempercepat visi sambil mengekalkan kedudukan kewangan melalui perkongsian strategik dan operasi yang lebih terurus.
"Selepas penyenaraian, PMCK akan menyatukan perniagaan-perniagaan lain di Kulim termasuk Poliklinik Unik dan Klinik Pergigian Unik di bawah PMC Kulim untuk meningkatkan kecekapan operasi.
"Komponen pembangunan bercampur projek ini juga dijangka mempelbagaikan aliran pendapatan, menyumbang kepada kelestarian jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
PMCK mengendalikan Putra Medical Centre di Alor Setar, yang menawarkan perkhidmatan rundingan pakar, penjagaan kecemasan dan sokongan klinikal.
Ia telah merawat kira-kira 128,000 pesakit sepanjang tiga tahun lalu, disokong oleh 40 pakar yang merangkumi 17 kepakaran.
Bagi tahun kewangan berakhir 2024, keuntungan bersih PMCK meningkat hampir 40% berbanding tahun sebelumnya kepada RM15.02 juta, manakala hasil meningkat 5% kepada RM104.34 juta.
Menurut draf prospektus yang disiarkan di Bursa Malaysia pada Disember tahun lalu, IPO berkenaan melibatkan penerbitan awam sebanyak 272.6 juta saham baharu dan tawaran penjualan 32.72 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian.
Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








