PM Anwar dinasihat lembutkan retorik Israel-Hamas demi Trump? - Bloomberg | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar dinasihat lembutkan retorik Israel-Hamas demi Trump? - Bloomberg

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dinasihatkan beberapa pegawai kerajaan agar melembutkan retoriknya berkaitan perang Israel-Hamas bagi mengelak sebarang tindak balas dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
 

Menurut sumber yang mengetahui mengenai perkara itu dipetik Bloomberg Economics, kebimbangan timbul apabila mereka semakin khuatir bahawa Trump boleh menjejaskan ekonomi yang dipacu eksport negara tersebut dengan dikenakan tarif tinggi oleh AS.
 

Individu itu yang meminta untuk tidak dinamakan mendakwa, kerisauan mereka atas faktor sensitiviti keadaan dengan AS boleh mengambil tindakan keras terhadap industri semikonduktor yang berkembang di Malaysia dan pelaburan pusat data yang dijana AI.
 

Ia susulan pengumuman baharu Trump pada Selasa yang berkemungkinan mengenakan tarif ke atas automobil, semikonduktor dan import farmaseutikal sekitar 25 peratus apatah lagi Malaysia adalah antara negara yang paling terdedah kepada sebarang tarif.
 

Ini termasuk ke atas cip, dengan eksport ke AS menyumbang 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Trump dilaporkan telah mengancam pelaksanaan tarif ke atas pelbagai negara yang gagal memenuhi keutamaan dasar AS.
 

Tumpuan disasarkan kepada negara yang ada lebihan perdagangan besar dengan AS. Hubungan Anwar dengan AS bergelora sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kritikannya yang hebat terhadap serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza.
 

Beliau juga menzahirkan sokongan secara lantang terhadap gerakan pejuang Hamas, yang menguasai kawasan terpencil pentadbiran Palestin itu meskipun telah disenaraikan sebagai antara organisasi pengganas oleh kerajaan AS dan Kesatuan Eropah.
 

Anwar namun ketika ini tampak semakin lebih berhati-hati dalam ucapannya setelah hampir dua tahun retorik berapi-api menyokong Hamas, sama ada menerusi perbahasan di Parlimen atau pun ketika penganjuran perhimpunan pro-Palestin di dalam negara.
 

Malah apabila Trump pada bulan ini mahu AS mengambil alih Gaza yang musnah; syor dikecam teruk seluruh dunia, Anwar hanya berkata Malaysia akan mengkaji cadangan itu dan menumpukan komen lebih kepada dana dengan Jepun untuk pembinaan semula Gaza.
 

Dalam catatan Facebook minggu lalu, Anwar menuduh rejim Israel melemahkan gencatan senjata yang diuruskan oleh Qatar, Mesir dan AS, dalam satu langkah yang kelihatan mengkritik Tel Aviv sambil mengelak sebarang kecaman terhadap pentadbiran Trump.
 

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab permintaan e-mel Bloomberg untuk mendapatkan komen. Pentadbiran Joe Biden sebelum ni berulang kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Anwar atas pandangannya mengenai konflik Timur Tengah.
 

Bahkan bekas Duta Besar Malaysia ke Washington DC, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa akhir era Biden baru-baru ini berkata secara terbuka yang dirinya telah dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali untuk menjelaskan isu Anwar.
 

Ini termasuk pertemuan ketua kerajaan Malaysia itu dengan delegasi Hamas, lawatannya ke Rusia sekitar September tahun lalu, dan sokongan terbukanya terhadap hak Iran untuk mempertahankan diri dengan bertindak balas ke atas serangan rejim Israel.
 

Gesaan agar Anwar meredakan ulasan mengenai Timur Tengah namun adalah sebahagian strategi luas Malaysia mengimbangi hubungan antara AS, yang merupakan rakan dagang ketiga terbesar negara itu, dan ekonomi pesat membangun yang diterajui oleh China.
 

Rakyat pula menilai Anwar sedang merangka rangka kerja risiko geopolitik untuk cuba meningkatkan hubungan perdagangan dengan Rusia dan Brazil, dua ahli utama kumpulan BRICS bagi ekonomi pasaran pesat membangun utama yang disertai Malaysia tahun lepas.
 

Pada masa yang sama, Malaysia kelihatan mencari pelaburan banyak firma berpangkalan di AS seperti Microsoft Corp, Nvidia Corp dan Amazon.com Inc, dengan kesemuanya itu kebetulan sedang sibuk merancang pembinaan pusat data berkuasa AI di Malaysia.
 

AS merupakan pasaran eksport ketiga terbesar Malaysia untuk produk semikonduktor, dan firma teknologi asing telah meningkatkan kehadiran mereka di Malaysia untuk mahu mengurangkan pergantungan mereka kepada Taiwan dan China yang masih lagi tegang.
 

Bagaimanapun satu ancaman kepada isu itu sekarang ialah peraturan sekatan eksport cip AS yang lazim digunakan dalam aktiviti kecerdasan buatan, dengan arahan eksekutif pernah dikeluarkan oleh pentadbiran Biden sejurus sebelum Trump mengambil alih.
 

Penggantinya itu namun masih boleh membalikkan peraturan berkenaan semasa tempoh permulaan pentadbiran selama 120 hari beliau yang akan berakhir pada April.
 

"Malaysia akan melihat beberapa cabaran dalam pembangunan pusat data, tetapi ia tidak akan menjejaskan pembangunan ekosistem untuk pusat data," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong kepada Parlimen pada Selasa.
 

Ironinya, Malaysia tidak berbuat banyak langkah untuk melibatkan Trump semasa kempen pilihan raya presiden yang sengit tahun lepas, dan tidak mungkin membuat penembusan yang ketara sekarang setelah Trump berjaya kembali ke Rumah Putih buat penggal kedua.
 

Anwar telah mengamanahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memperkukuhkan hubungan dengan pentadbiran Trump. Beliau ada merancang untuk pergi ke AS untuk membincangkan isu perdagangan dengan pelabur. - DagangNews.com