Plaza Perangsang ditukar menjadi Hotel Grand Mercure Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Plaza Perangsang ditukar menjadi Hotel Grand Mercure Shah Alam

Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 20 Nov – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengumumkan transformasi strategik Plaza Perangsang di Seksyen 14 menjadi Hotel Grand Mercure Shah Alam, yang bakal beroperasi pada suku kedua 2026.

 

Ia adalah hotel kedua di bawah jenama Grand Mercure di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, transformasi Plaza Perangsang merupakan sebahagian daripada misi strategik PKNS di bawah inisiatif projek SA Sentral, bertujuan mengukuhkan kedudukan Shah Alam sebagai bandar moden, dinamik dan berdaya saing.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, usaha transformasi tersebut dimuktamadkan menerusi perjanjian pengurusan hotel dan perjanjian perkhidmatan rundingan hotel antara DPMS Hospitality Sdn Bhd dan Accor pada 15 Oktober lalu.

 

“Melalui kerjasama ini, Accor dilantik sebagai pengendali hotel manakala DPMS Hospitality akan bertindak sebagai pemilik hotel dengan PKNS kekal sebagai pemilik tanah dan pemaju utama keseluruhan projek.

 

“Kerjasama dengan Accor di bawah jenama Grand Mercure ini mencerminkan komitmen PKNS untuk memperkukuh sektor hospitaliti di Selangor, selaras dengan Kempen Tahun Melawat Selangor dan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026,” katanya dalam sidang media Sneak Preview Hotel Grand Mercure Shah Alam, semalam.

 

Turut hadir Naib Presiden Pembangunan Accor Indonesia–Malaysia, Rio Kondo dan Ketua Pegawai Eksekutif (lantikan) SA Sentral, Datuk Mohd Najib Ibrahim.

 

Mahmud berkata, di bawah pelan untuk mengoptimumkan aset PKNS, bangunan 27 tingkat yang dibina pada 1998 itu akan diubah suai daripada menara pejabat konvensional kepada destinasi perniagaan dan rekreasi bersepadu.

 

Beliau berkata, aras 18 hingga 26B Hotel Grand Mercure Shah Alam akan menyediakan 156 bilik tetamu premium dan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa termasuk restoran, spa, kolam renang, pusat kecergasan, bilik mesyuarat, dewan bankuet dan ruang khas kanak-kanak.

 

“Projek hotel berprestij antarabangsa ini dijangka menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang baharu kepada pelabur untuk membangunkan lagi sektor pelancongan dan perkhidmatan di Selangor.

 

“Selain hotel, projek transformasi ini turut merangkumi ruang pejabat moden, kawasan kerja bersama (co-working space) yang fleksibel, lebih 600 petak parkir, serta kafe dan restoran,” katanya.

 

Sementara itu, Rio berkata, pembangunan Grand Mercure Shah Alam akan terus mengukuhkan kedudukan Accor sebagai peneraju industri hospitaliti di Malaysia, dengan misi menjadikan jenama Grand Mercure untuk menginspirasi tetamu menerokai keindahan tempatan serta meraikan budaya setempat menerusi pengalaman penginapan premium yang menggabungkan tradisi dan keunikannya.

 

“Kami menantikan kerjasama lebih erat dengan PKNS dalam projek ini dan melihat ini sebagai langkah pertama ke arah lebih banyak pembangunan hotel pada masa depan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mohd Najib berkata, bagi merealisasikan aspirasi SA Sentral sebagai ‘nadi baharu’ Shah Alam, PKNS kekal komited memastikan setiap projek memberikan impak ekonomi dan sosial melalui pembangunan mampan, penciptaan pekerjaan, pengukuhan hubungan dengan komuniti dan peningkatan nilai aset negeri dalam jangka panjang.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, inisiatif kolaboratif tersebut adalah sebahagian daripada agenda transformasi menyeluruh PKNS, selaras dengan visinya untuk mengukuhkan pembangunan strategik, mampan dan berimpak tinggi di negeri itu.

 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, khususnya PKNS di bawah pasukan SA Sentral, rakan strategik, perunding, kontraktor dan semua pihak berkepentingan yang terus memberikan kepercayaan serta komitmen dalam perjalanan transformasi ini,” katanya.-- BERNAMA