Phillip Capital semak turun unjuran pendapatan sesaham Greatech antara 16% hingga 21% bagi FY25-FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital semak turun unjuran pendapatan sesaham Greatech antara 16% hingga 21% bagi FY25-FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Phillip Capital menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) Greatech Technology Bhd antara 16% hingga 21% bagi FY25 hingga FY26 selepas mengurangkan pengiktirafan hasil projek.

 

Katanya, hasil 4QFY24 kumpulan meningkat 9% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM206 juta kerana sumbangan hasil yang lebih besar merentas sektor sains hayat, e-mobiliti dan semikonduktor.

 

Bagaimanapun, untung bersih teras merosot 18% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM29 juta didorong margin yang lebih rendah dan caj susut nilai yang lebih tinggi.

 

"Buku pesanan tertunggak Greatech berjumlah RM785 juta setakat 12 Februari 2025 berbanding RM780 juta pada November 2024.

 

"Buku pesanan e-mobiliti meningkat berikutan kemenangan kontrak yang besar baru-baru ini, meliputi hampir separuh daripada buku pesanan, diikuti oleh solar (30%), sains hayat (18%) dan semikonduktor (6%)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 24.3% bagi 4QFY24 kepada RM51.62 juta daripada RM41.54 juta, apabila hasil meningkat 33.1% kepada RM205.84 juta daripada RM154.64 juta.

 

Syarikat itu mencatat keuntungan tukaran mata wang asing bersih RM14.74 juta pada 4QFY24, berbanding kerugian bersih RM3.18 juta setahun sebelumnya dipacu pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

Bagi FY24, keuntungan bersih kumpulan sebahagian besarnya tidak berubah, dengan peningkatan 0.4% kepada RM155 juta berbanding RM154.36 juta pada FY23, manakala hasil meningkat 14.2% kepada RM752.37 juta daripada RM658.75 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhannya, keputusan itu melebihi anggaran tetapi tidak mencapai jangkaan konsensus, masing-masing menyumbang 105% dan 88% daripada ramalan pendapatan tahun penuh dan konsensus.

 

Katanya, kumpulan itu juga berdepan risiko temasuk penambahan buku pesanan yang lebih perlahan, pengiktirafan hasil yang lebih lemah daripada jangkaan dan tekanan kos berterusan.- DagangNews.com