KUALA LUMPUR 3 Mac — Pharmaniaga Berhad bersiap sedia untuk pertumbuhan positif pada 2025, setelah memperoleh kelulusan produk farmaseutikal yang terbaharu dan pengembangan yang disokong kawal selia selepas berjaya pulih pada suku akhir 2024 (4Q24).
Pulangan syarikat kepada keuntungan didorong oleh jualan yang lebih tinggi, kecekapan operasi lebih baik, dan ketiadaan kos kemerosotan nilai, berjaya menetapkan peringkat syarikat untuk prestasi kewangan yang diunjurkan lebih kukuh sepanjang tahun ini.
Menurut Pengarah Urusannya, Zulkifli Jafar, pemacu pertumbuhan utama untuk Pharmaniaga pada 2025 ialah portfolio insulinnya yang baru-baru ini diluluskan oleh pihak berkuasa serta turut memperoleh pelepasan kawal selia untuk sebanyak lapan produk insulin.
Syarikat itu ujar beliau, telah menggariskan pelancaran secara berperingkat bermula pada Februari lalu, manakala barisan pembuatannya sudah menjalani simulasi proses pensterilan untuk memastikan proses pematuhan piawaian industri yang cukup ketat.
Pengkomersilan skala penuh produk ini disasarkan menjelang akhir 2025. Selain insulin, Pharmaniaga juga telah memperoleh kelulusan pendaftaran untuk sejumlah 12 lagi produk farmaseutikal yang merentasi pelbagai bidang terapeutik.
Antara produk utama yang sudah ditetapkan untuk pelancaran sepanjang tahun ini ialah Parecoxib dan Etoricoxib untuk pengurusan kesakitan, serta Tegoprazan untuk kes gangguan saluran pencernaan dan masalah metabolisme.
Tawaran baharu ini dijangka meningkatkan kehadirannya dalam pasaran domestik dan serantau selain mengukuhkan peranannya sebagai pemain farmaseutikal terkemuka.
Dari segi kewangan, Pharmaniaga merekodkan keuntungan bersih RM2.35 juta pada suku terakhir tahun lalu atau 4Q24, yang sekali gus telah membalikkan kerugian bersih dicatatkan sebanyak RM35.4 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil suku tahunan meningkat 17.3 peratus tahun ke tahun kepada RM926.4 juta, didorong oleh jualan yang lebih kukuh, pelarasan harga dan permintaan yang berkembang di Indonesia, selepas syarikat berkenaan telah membuka cawangan baharu.
Pada asas setahun penuh, syarikat tersebut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM131.8 juta, bangkit daripada kerugian bersih RM80.2 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2023 (FY23), manakala hasil meningkat 10.4 peratus kepada RM3.76 bilion.
Dengan perjanjian konsesi kerajaan yang diperbaharui, Pharmaniaga juga ujarnya bersedia untuk mengembangkan lagi peranannya dalam sistem pemerolehan bekalan ubat untuk sektor penjagaan kesihatan awam Malaysia.
Syarikat itu komited untuk menambah bilangan produk di bawah 'Senarai Pembelian Produk Diluluskan' daripada hanya 815 kepada lebih 1,200, satu langkah yang mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan farmaseutikal domestik.
Zulkifli menambah, pengembangan ini akan membolehkan Pharmaniaga memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang dengan lebih baik, mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal utama kepada hospital dan klinik kerajaan.
Pharmaniaga juga meningkatkan kehadiran serantaunya, khususnya di Indonesia, malahan melihat potensi pertumbuhan jangka panjang. Sementara itu, cawangannya di Bekasi sedang menjalani pengubahsuaian dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2025.
Di luar perniagaan farmaseutikal terasnya, Pharmaniaga sedang memajukan pembangunan vaksin, setelah memperoleh geran kerajaan untuk menyokong dua projek vaksin baharu.
Walaupun butiran vaksin ini belum didedahkan, inisiatif itu menandakan komitmen syarikat berkenaan untuk meningkatkan keupayaan farmaseutikal Malaysia dalam bidang penjagaan kesihatan yang kritikal.
Walaupun prestasi kewangannya bertambah baik, Pharmaniaga tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk FY24, memandangkan syarikat itu kekal fokus untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya dan melabur dalam inisiatif pertumbuhan jangka panjang.
Memandang ke hadapan, strategi pertumbuhan Pharmaniaga 2025 lebih tertumpu kepada pengkomersilan produk, pengembangan yang didorong oleh peraturan serta penembusan pasaran di Malaysia dan Indonesia.
Dengan portfolio insulinnya, senarai ubat baharu dan kontrak kerajaan yang diperluaskan, syarikat itu bersedia untuk membina pemulihannya dan memacu pertumbuhan yang mampan pada tahun hadapan. - DagangNews.com








