KUALA LUMPUR 17 Mac - Pharmaniaga Bhd bakal diisytihar keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) esok selepas menerima kelulusan Bursa Malaysia.
Syarikat farmaseutikal itu berkata, penarikan status berkenaan susulan kejayaan melaksanakan pelan penstrukturan semula serta pematuhan penuh terhadap semua keperluan penyenaraian bursa.
Menurut Pharmaniaga, perkembangan tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menstabilkan operasi, memperkukuh tadbir urus serta mengukuhkan asas perniagaan terasnya.
Syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 27 Februari 2023 ekoran `terlebih beli' vaksin COVID-19, sebelum melaksanakan beberapa inisiatif pemulihan bagi mengembalikan kestabilan kewangan.
Sejak suku berakhir 31 Mac 2024, Pharmaniaga merekodkan lapan suku berturut-turut mencatat keuntungan.
Prestasi itu menyumbang kepada keuntungan bersih sebanyak RM50.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 30.5 peratus berbanding keuntungan bersih terlaras RM38.8 juta pada tahun kewangan 2024.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata pencapaian tersebut mencerminkan ketahanan, disiplin serta komitmen kolektif seluruh organisasi ketika melalui tempoh yang amat mencabar.
“Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terus menyokong kumpulan sepanjang tempoh mencabar ini termasuk kerajaan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings Bhd serta para pemegang saham, pihak bank, pembekal, vendor dan pihak berkepentingan lain.
“Perjalanan transformasi kami tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan lembaga pengarah, kepimpinan pasukan pengurusan serta dedikasi tidak berbelah bahagi para pekerja di Malaysia dan Indonesia yang memainkan peranan penting dalam memulihkan kekuatan perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli berkata, dengan status PN17 yang ditarik balik, Pharmaniaga kini akan menumpukan kepada pengukuhan pertumbuhan jangka panjang serta memperluas keupayaan strategiknya merentasi rantaian nilai penjagaan kesihatan.
“Ini menandakan permulaan fasa baharu bagi Pharmaniaga apabila kami beralih daripada usaha menstabilkan perniagaan dan mengukuhkan asas kepada memacu pertumbuhan mampan,” katanya.
Syarikat itu turut memaklumkan akan terus mempertingkat keupayaan dalam bidang farmaseutikal dan biofarmaseutikal di samping memperluas kehadirannya di pasaran serantau. - DagangNews.com








