PETRONAS, Putrajaya Holdings tubuhkan Pusat Teknologi Geosains pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, Putrajaya Holdings tubuhkan Pusat Teknologi Geosains pertama di Malaysia

Replika Pusat Teknologi Geosains PETRONAS - Gambar JMG
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov – PETRONAS melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) akan menubuhkan Pusat Teknologi Geosains PETRONAS (PTGC) di Putrajaya dengan kerjasama Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

 

Pusat tersebut bertujuan memajukan inovasi dan keupayaan geosains di Malaysia serta menjadi mercu tanda pertama Petronas di Putrajaya.

 

Pembinaannya bakal mengubah landskap geosains negara dengan mengintegrasikan pengurusan data canggih, visualisasi interaktif dan penyelidikan kolaboratif.

 

Perjanjian pembangunan PTGC telah dimeterai antara MPM dan Gilang Cendana Sdn Bhd, anak syarikat Putrajaya Holdings, dengan Jabatan Mineral Geosains Malaysia sebagai rakan kerjasama, baru-baru ini.

 

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Bacho Pilong berkata, PTGC melambangkan komitmen PETRONAS terhadap inovasi, kelestarian dan kolaborasi bersama agensi untuk tatapan generasi akan datang.

 

Beliau berkata, pusat itu juga berperanan sebagai pusat warisan bawah tanah Malaysia yang menyimpan lebih daripada satu abad data penerokaan untuk dimanfaatkan orang ramai,

 

“Projek ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bidang geosains dan menyokong usaha PETRONAS untuk terus menjadi peneraju teknologi serta inovasi dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pembinaan projek tersebut akan dimulakan pada penghujung tahun ini dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2028. - DagangNews.com