PETRONAS lantik Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 Nov 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS lantik Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 Nov 2025

Maimunah Mohd Sharif
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov – PETRONAS melantik Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah baharu berkuat kuasa 17 November 2025.

 

PETRONAS berkata, Maimunah akan memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju pertumbuhan seterusnya bagi portfolio hartanah syarikat, khususnya membabitkan tanah milik PETRONAS di Sungai Besi, pembangunan Kota Madani serta projek hartanah lain di bawah kumpulan.

 

“Beliau adalah tokoh pembangunan bandar yang diiktiraf di peringkat global dengan lebih empat dekad pengalaman dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan mampan,” kata PETRONAS dalam satu kenyataan.

 

Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perancangan Bandar dari University of Wales Institute of Science and Technology serta Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dari Universiti Sains Malaysia.

 

Sebelum ini, beliau memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta berkhidmat sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang.

 

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan wanita Asia pertama dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).

 

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya.

 

PETRONAS berkata, kerjaya cemerlangnya turut menyaksikan beliau menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya gelaran Profesor Kehormat di Bartlett School, University College London, pelantikan sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya serta Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Barcelona).

 

“Beliau juga merupakan penerima Anugerah Kepimpinan Terbaik Kementerian Perumahan bagi kategori Bandar.

 

“PETRONAS yakin kepakaran serta pengalaman luas beliau akan menjadi nilai tambah penting dalam memperkukuh strategi hartanah syarikat,” kata pengurusan PETRONAS. - DagangNews.com