KUALA LUMPUR 21 Feb — Petronas Gas Berhad mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang lebih tinggi sebanyak RM1.92 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), peningkatan 1.2 peratus berbanding RM1.90 bilion pada tahun sebelumnya.
Menerusi makluman difailkan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pertambahan tersebut didorong oleh prestasi operasi yang kukuh, pengurusan kos cukup berdisiplin dan pengurangan risiko berkesan di keseluruhan segmen perniagaan kumpulan berkenaan.
Justeru, Petronas Gas mengisytiharkan dividen interim buat kali keempat sebanyak 22 sen sesaham, kekal sebagai mana suku yang sama pada tahun kewangan 2023 (FY2023) bagi menekankan komitmen untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
"Sepanjang FY2024 pula, perolehan kumpulan itu juga meningkat kepada sebanyak RM6.54 bilion, pertambahan 1.4 peratus daripada RM6.45 bilion pada FY2023 yang disebabkan terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen pemprosesan gas," katanya.
Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan pendapatan caj tempahan di bawah penggal baharu, namun ia telah diimbangi sebahagiannya oleh hasil yang lebih rendah daripada segmen Utiliti, kerana dipengaruhi khususnya oleh harga produk yang lebih lemah.
Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) merosot sebanyak 1.1 peratus, terutamanya disebabkan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat usaha sama (JV). Petronas Gas bagaimanapun berkesan mengurangkan kesan ini melalui pengurusan risiko strategik.
Langkah berkenaan termasuk penyelesaian awal liabiliti pajakan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) untuk Terminal Pengegasan Semula Gas Asli Cecair (LNG) Sungai Udang, Melaka yang kemudiannya dapat mengurangkan kos pembiayaan projek tersebut.
"Selain itu, pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan daripada pengukuhan ringgit Malaysia berbanding liabiliti pajakan USD mengurangkan lagi penurunan berkenaan malah memperkukuhkan prestasi kewangan Petronas Gas yang teguh," katanya.
Kecekapan operasi dan program penyelenggaraan yang proaktif, selain kebolehpercayaan tinggi aset di seluruh portfolio syarikat serta perakuan Elaun Cukai Pelaburan (ITA) untuk tahun taksiran 2024 juga menyumbang kepada perbelanjaan cukai yang rendah.
Keadaan itu menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman, telah menyokong pertumbuhan PAT dan dijangka dapat membentangkan prestasi kewangan sihat untuk 2025 di sebalik prestasi operasi yang kukuh secara berterusan.
Sementara kos operasi pula diunjurkan meningkat, termasuk perbelanjaan yang berkaitan dengan aset yang baru siap, Petronas Gas tambah beliau, masih lagi komited untuk mengoptimumkan kecekapan kos berkenaan malah berusaha untuk mengurangkan kesannya.
"Di samping itu, pihak Kumpulan akan terus mengutamakan segala inisiatif pertumbuhan yang mampan dan pada masa sama berusaha lagi untuk memaksimumkan hasil pulangan kepada para pemegang saham kami," katanya menerusi kenyataan syarikat. - DagangNews.com








