KUALA LUMPUR 20 Feb — Petronas Dagangan Berhad mencatatkan keuntungan bersih yang meningkat sebanyak 38 peratus kepada RM249.06 juta dalam suku terakhir tahun lalu (4QFY2024) apabila tamat pada 31 Disember 2024.
Angka tersebut menunjukkan ada pertambahan berbanding hanya RM180.81 juta direkodkan setahun sebelumnya, yang didorong oleh pengurusan kos berdisiplin dan faktor margin lebih tinggi bagi segmen runcit dan kemudahannya.
Sehubungan prestasi positif berkenaan, syarikat tersebut dilaporkan mengisytiharkan pembayaran dividen ditetapkan kepada 45 sen sesaham, yang meliputi dividen interim sebanyak 25 sen manakala dividen khas pula adalah 20 sen.
Hasil perolehan namun merosot sebanyak 10.74 peratus kepada RM8.99 bilion daripada RM10.08 bilion pada 4QFY2023, yang dipercayai disebabkan purata harga jualan lebih rendah dan pengurangan aliran jualan komersial.
Berdasarkan rekod suku ke suku, keuntungan naik 27 peratus daripada RM196.01 juta pada 3QFY2024 manakala hasil susut lapan peratus daripada RM9.73 bilion, susulan kurang permintaan dan harga rendah minyak mentah.
Dalam pada itu menerusi kenyataan, Petronas Dagangan memaklumkan bahawa keputusan kewangan 4QFY2024 menunjukkan keberkesanan fokus strategik terhadap pertumbuhan, kecemerlangan operasi dan pelanggan diutamakan.
"Syarikat menutup tahun itu dengan pertumbuhan pendapatan yang kukuh. Bagi suku terakhir, keuntungan sebelum cukai berbanding 4QFY2023 berjaya mencecah RM361.8 juta yang didorong oleh kekukuhan margin," jelasnya.
Ini susulan keadaan pasaran yang menggalakkan dan pengurusan kos berdisiplin dengan prestasi teguh ini menggariskan fokus syarikat pada keuntungan mampan, disokong oleh portfolio strategik dan kecekapan kos secara optimum.
Ia memaklumkan bahawa kedua-dua segmen runcit dan komersial berjaya menyumbang kepada keputusan keseluruhan. Bagi tempoh 12 bulan, Petronas Dagangan mencapai jumlah jualan tahunan tertinggi sepanjang masa sebanyak 16.8 bilion liter.
Situasi tersebut jelas kenyataan itu menyumbang peningkatan hasil kepada RM38.0 bilion dan turut mencerminkan trend permintaan keseluruhan yang lebih kukuh walaupun purata harga jualan masih adalah lebih rendah.
Dengan momentum baik ini, Petronas Dagangan mencatatkan kenaikan 15 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM1.5 bilion dan pencapaian itu didorong gabungan pengalaman pelanggan dipertingkatkan di stesen Petronas.
"Tidak ketinggalan ialah pelbagai siri kempen promosi yang disasarkan seperti Bonanza 50 dan strategi pemasaran berasaskan data, dengan menyerlahkan keberkesanan usaha penglibatan pelanggan syarikat," katanya. - DagangNews.com








