Petra Energy lantik Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petra Energy lantik Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac — Petra Energy Berhad melantik Tan Sri Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif baharunya yang telah berkuat kuasa serta-merta.

 

Beliau menggantikan Tan Sri Sulong Mat Jeraie, yang meletak jawatan sebagai Pengerusi pada Ogos 2024 kerana komitmen peribadi, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum pelantikan tersebut, Ahmad Nizam, 69, pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad dari 2021 hingga 2024.

 

Dengan kerjaya cemerlang yang menjangkau lebih empat dekad, beliau telah memegang beberapa peranan kepimpinan utama termasuklah di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

 

Antaranya sebagai Naib Presiden Perkhidmatan Korporat, Pengerusi Petronas serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat LNG Malaysia.
 

Saham Petra Energy, yang menyediakan perkhidmatan medan untuk sektor minyak dan gas huluan, ditutup empat sen atau 3.01 peratus lebih rendah kepada RM1.29 pada Isnin, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM426.9 juta. - DagangNews.com