Pertumbuhan Scientex kekal stabil dipacu segmen hartanah, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Scientex kekal stabil dipacu segmen hartanah, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Mac — Scientex Berhad masih terus mengekalkan pertumbuhan stabil dipacu segmen hartanah walaupun berdepan cabaran dalam segmen rumusan pembungkusan untuk pasaran produk pengguna dalam tempoh terdekat, kata RHB Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif dalam portfolio hartanahnya banyak didorong trend permintaan kukuh bagi tawaran jualan pelbagai projek rumah mampu milik dibina syarikat itu di seluruh negara pada ketika ini.
 

Justeru, pihak pengurusan Scientex percaya, perkembangan untuk masa depan pasaran pembungkusan akan kekal mencabar terutamanya untuk subsegmen perindustrian dalam waktu yang terdekat dengan ditambah pelbagai faktor luaran lain.
 

"Segmen pembungkusan dijangka menyaksikan lantunan semula dalam kitaran tahun 2026 (CY26)  diimbangi dengan pengembalian permintaan untuk pembungkusan pengguna dan kedudukan kadar mata wang ringgit yang lemah," katanya dalam satu nota.
 

Keadaan tersebut tambah firma penyelidikan itu, sepatutnya mampu menyokong pasaran eksport Scientex dengan mengambil kira subsegmen pembungkusan pengguna secara kasar membentuk sebanyak 44 peratus daripada hasil pembungkusan 1HFY25.
 

Sebaliknya situasi tinjauan RHB Research berbeza dengan segmen hartanah Scientex yang masih teguh selaras dengan perancangan syarikat berkenaan sendiri mahu membina sejumlah 50,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028 di seluruh Malaysia.
 

Ketika ini, bahagian hartanahnya melaporkan sudah menyiapkan sebanyak 39,893 unit kediaman yang berharga bawah RM500,000 dengan kira-kira 71 peratus daripadanya malahan dijual pada harga lebih rendah iaitu kurang RM300,000.
 

Projek hartanah Scientex telah lama bertapak kukuh sejak bermula di Pasir Gudang, Johor pada 1995 sebelum berkembang ke negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia melibatkan 35 kawasan dengan 15 daripadanya sudah matang.
 

"Kami mengurangkan pendapatan FY25F hingga FY27F sebanyak empat hingga 10 peratus selepas menurunkan andaian margin segmen pembungkusan kepada 5.3 peratus, 6.7 peratus, dan 6.8 peratus daripada 7.6 peratus, 8.6 peratus dan 7.8 peratus," kata RHB.
 

Firma tersebut mengekalkan pendirian 'neutral' dengan harga sasaran sesaham berasaskan prosedur operasi standard baharu iaitu MYR3.70 yang diperoleh selepas diambil kira premium atau diskaun amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus sifar peratus.
 

Scientex mencatatkan keuntungan bersih pada 2QFY25 sebanyak RM126 juta iaitu kurang 2.1 peratus suku-ke-suku (QoQ) dan kurang 4.4 peratus tahun-ke-tahun (YoY), menjadikan pendapatan teras 1HFY25 kepada RM255m iaitu kurang -5.6 peratus YoY.
 

Keputusan tersebut berada di bawah jangkaan, pada 44 peratus daripada anggaran tahun penuh RHB sendiri terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah berbanding jangkaan daripada segmen pembungkusan syarikat itu. - DagangNews.com