Pertumbuhan iCents dibimbangi terjejas jika bergantung projek semikonduktor - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan iCents dibimbangi terjejas jika bergantung projek semikonduktor - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Pertumbuhan penyedia perkhidmatan, iCents Group Holdings Berhad dibimbangi boleh terjejas sekiranya terlalu bergantung kepada projek semikonduktor, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek kumpulan berkenaan yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 17 Julai 2025 itu juga dijangka berisiko jika hanya mengharapkan projek baharu.


Tambahnya, ia antara risiko utama yang perlu ditempuhi syarikat tersebut dalam usaha mengekalkan momentum berkaitan perniagaan dan industri ketika peluang pemerolehan tender semakin sengit.


"Selain itu, iCents tidak harus cuma menetapkan pergantungan utama kepada segmen elektronik dan perlu berwaspada mengenai risiko pelaksanaan projek baharu," kata TA Securities dalam notanya.


Kumpulan patuh syariah itu terlibat dalam perolehan, pembinaan, serta pentauliahan bilik bersih untuk sektor pembuatan semikonduktor dan elektronik, pusat data, farmaseutikal dan biologi.


Di samping itu, ia menyediakan perkhidmatan kemudahan mesin dan peralatan penyambung, pembekalan dan pemasangan sistem siling tugas berat, kerja pembinaan dan penyelenggaraan pelbagai fasiliti.


Bagaimanapun, TA Securities menilai iCents sebagai syarikat berpotensi besar kerana memiliki rekod kerja baik dengan disokong sepasukan 31 juruteranya dalam melaksanakan pelbagai projek.


"Syarikat ini juga diterajui ramai pengarah berpengalaman luas lebih 20 tahun dalam industri dan kepimpinan terbaik selain memiliki banyak pensijilan standard antarabangsa sejak 2021," katanya.


Pada tahun kewangan 2023, kumpulan itu merekodkan hasil melonjak 94.1 peratus tahun ke tahun (yoy) daripada RM55.8 juta kepada RM108.3 juta yang dipacu banyak projek baharu dalam senarainya.


Sementara untuk prospek masa depan, TA Securities meramalkan iCents mampu mencatatkan pertumbuhan positif iaitu masing-masing 23.7 peratus, 43.6 peratus dan 6.9 peratus pada FY25, FY26 dan FY27.


Ia berikutan perluasan pelan perniagaan syarikat dalam pemerolehan banyak mesin berteknologi tinggi serta pembinaan fasiliti baharu di Mantin, Negeri Sembilan yang dijangka siap akhir 2025.


"iCents juga juga merancang pelan perjawatan baharu dengan melatih seramai 15 jurutera, empat juruteknik dan dua pengurus antara tahun ini sehingga 2027 sebagai barisan pelapis," katanya.


Berdasarkan perkembangan yang menggalakkan itu, TA Securities menetapkan harga sasaran syarikat itu mampu mencecah 29 sen berbanding harga tawaran awam permulaan hanya 24 sen. - DagangNews.com