KUALA LUMPUR 22 Okt – Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau menerusi penganjuran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25), yang membuka tirainya hari ini dengan penyertaan ribuan pemimpin, pakar dan inovator dari seluruh dunia.
Edisi kelapan persidangan tahunan itu mengetengahkan tema “AI & Green Evolution: Growth, Challenges & Community Resilience”, yang mencerminkan aspirasi Sarawak untuk membina masa depan digital yang mampan dan berasaskan nilai kemanusiaan.
Dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan kerjasama Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), acara dua hari itu turut menampilkan Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai rakan strategik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan negeri perlu digerakkan oleh inovasi yang berasaskan nilai kemanusiaan serta tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, cabaran utama bukan sekadar untuk bergerak pantas dalam era teknologi, tetapi untuk membina sistem yang memperkasa komuniti, memelihara alam sekitar dan memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak.
“Dalam menyambut evolusi AI dan teknologi hijau, kita mesti memastikan kemajuan berlaku dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab.
“Kita boleh membina sistem yang beroperasi lebih pantas tetapi sistem itu juga perlu juga berkhidmat dengan lebih bijak,” katanya dalam ucaptama di persidangan itu hari ini.

IDECS25 menampilkan pelbagai inisiatif baharu termasuk pelancaran Sarawak Pass, platform identiti digital berasaskan AI yang dibangunkan oleh SMA bagi menyediakan akses selamat kepada perkhidmatan kerajaan negeri menjelang aspirasi kerajaan digital penuh pada 2030.
Kerjasama strategik turut diperluas dengan pemeteraian 12 memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan negeri dan rakan kongsi antarabangsa meliputi bidang infrastruktur digital, penyelesaian AI, teknologi bio dan rangkaian generasi baharu.
Antara MoU penting yang dimeterai ialah antara SDEC dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd; PT Telekomunikasi Indonesia International (TELIN), ITCO Niaga Sdn. Bhd. dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Kerjasama itu akan memperkukuh asas digital Sarawak melalui pembangunan infrastruktur awan hibrid, kesalinghubungan rentas sempadan serta peningkatan kemahiran bakat digital sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
IDECS25 turut menjadi pentas bagi Bioeconomy Corporation, dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganjurkan National Bioeconomy Showcase 2025 (NBiOSHOWCASE) yang menampilkan inovasi dalam bioteknologi, ekonomi kitaran, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.

Persidangan ini menarik lebih 10,000 peserta dengan penyertaan 129 penceramah, 204 pempamer dan 40 penaja, menjadikannya salah satu acara ekonomi digital terbesar di rantau ini.
Barisan penceramah antarabangsa yang hadir termasuk penulis dan pakar global seperti James Barrat, Prof. Madya Yifei Li, Dr Ayesha Khanna, Scott Bales dan Dr Justin Cohen yang berkongsi pandangan mengenai masa depan teknologi dan kemampanan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Pengerusi IDECS25, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, transformasi digital negeri mestilah berasaskan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar kemajuan teknologi.
Selain sesi utama, IDECS25 turut menampilkan SHE-Tech Asia Forum 2025 yang memberi tumpuan kepada kepimpinan wanita dalam AI dan teknologi hijau, Startup Village yang menghimpunkan usahawan inovatif serta Digital Art Gallery 2025 yang menampilkan karya seni berasaskan AI oleh pelajar dan komuniti tempatan. - DagangNews.com








