Persatuan Pengusaha Pengangkutan Malaysia bantah sekatan pergerakan lori di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Pengusaha Pengangkutan Malaysia bantah sekatan pergerakan lori di Lembah Klang

Gambar/FB PLUS Malaysia

KUALA LUMPUR 6 Feb - Sektor logistik membantah langkah kerajaan untuk mengetatkan sekatan pergerakan lori di lebuh raya sekitar Lembah Klang yang dijadualkan bermula pada 19 Februari 2025.

 

Langkah itu susulan daripada perkongsian di Facebook oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai sekatan baharu yang akan dikuatkuasakan di empat lebuh raya.

 

Lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Utara-Klang Valley (NKVE), Ekspresway Lingkaran Tengah (Elite di sepanjang jalan antara Shah Alam dan Saujana Putra) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

 

Bagi melancarkan aliran trafik, kenderaan berat (Kelas 2 dan 3 tol) akan dilarang bergerak ke semua arah di empat lebuh raya tersebut (kecuali pada hari cuti umum) pada waktu puncak antara 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 petang, dari Isnin hingga Jumaat.

 

Kenderaan berat yang dikecualikan daripada larangan adalah bas, lori sampah dan kenderaan yang terlibat dengan perkhidmatan awam, kecemasan serta penyelenggaraan lebuh raya.

 

Menurut LLM, peraturan baharu itu telah digazetkan pada 21 Oktober 2024.

 

Persatuan Pengusaha Pengangkutan Malaysia (AMH) membantah langkah tersebut, mendakwa pihak berkuasa gagal berbincang dengan mereka dan pihak berkepentingan lain mengenai sekatan berkenaan.

 

"Kira-kira 1,000 lori milik ahli kami akan terjejas. Jika lori milik bukan ahli turut diambil kira, jumlahnya akan lebih banyak lagi," kata Setiausaha Eksekutifnya, Mohamad Azuan Masud seperti laporan The Star.

 

Beliau berkata, sekatan pergerakan semasa sudah menyebabkan masa bekerja pemandu menjadi lebih panjang selain mengurangkan produktiviti akibat masa menunggu yang lama.

 

"Jika pengusaha perlu menghantar kontena kosong dari Pelabuhan Klang ke sebuah kilang di Bentong pada waktu pagi, pemandu perlu berlepas sebelum sekatan jalan bermula, namun akan tiba terlalu awal sementara kilang masih tutup, menyebabkan masa menunggu lebih lama.

 

"Jika pemandu menunggu sehingga tempoh sekatan berakhir, penghantaran akan tertunda. Ini akan menyebabkan ketidakcekapan dalam rantaian bekalan, menjadikan industri kurang produktif," jelasnya.

 

Azuan berkata, langkah itu membimbangkan kerana pengangkutan kontena adalah perkara yang melibatkan kepentingan negara, dengan gangguan pada rantaian bekalan memberi kesan kepada ekonomi negara.

 

Jelasnya, semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, pengusaha pengangkutan diminta untuk menggerakkan kontena yang penting untuk ekosistem import-eksport.

 

"Kebanyakan perjalanan pengangkutan melibatkan terminal pelabuhan, bukan pusat bandar, namun laluan kami sering melalui jalan yang menuju ke pusat bandar. 

 

"Walaupun kenderaan berat merupakan pengguna utama lebuh raya dan penyumbang utama kepada ekonomi negara, kami tidak dilibatkan dalam perbincangan dengan konsesi lebuh raya dan LLM," katanya. - DagangNews.com