KUALA LUMPUR 31 Jan - Permintaan terhadap logam besi untuk pembuatan keluli dan produk bernilai tambah di Malaysia dijangka berkembang pesat, terutamanya dengan pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama tempatan.
Menurut Kenanga Research, permintaan terhadap keluli akan meningkat, selaras dengan pembangunan projek-projek kemudahan awam mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang, Transit Rapid Autonomi (ART) Kuching dan Mass Rapid Transit 3 (MRT3).
"Harga keluli yang stabil akan diterjemahkan kepada harga produk keluli yang stabil, sekali gus mengurangkan ketidaktentuan pendapatan bagi pengeluar produk keluli berat seperti Engtex Group Bhd dan United U-Li Corp Bhd," kata bank tersebut dalam satu kenyataan.
Kenanga juga meramalkan permintaan keluli di China akan berkembang secara sederhana tahun ini selepas empat tahun tidak berubah, didorong oleh pasaran hartanah yang stabil, rangsangan tambahan bagi menyokong sektor-sektor lain serta peningkatan sentimen pengguna.
"Pengeluar keluli mungkin berdepan dengan tekanan pada 2025 dan seterusnya akibat peraturan anti-lambakan yang meningkat, dengan kesan yang lebih ketara dijangka berlaku pada 2026.
"Keuntungan industri yang rendah menyebabkan pengurangan pengeluaran dan membuka laluan untuk penggabungan atau pengambilalihan syarikat kerana ramai pengeluar keluli berisiko menghadapi kebankrapan," ujarnya.
Tambah beliau, jika had kapasiti dilaksanakan, kadar penggunaan mungkin meningkat, yang berpotensi meningkatkan harga keluli di China pada 2025.
Selain daripada projek-projek mega, kerajaan Malaysia terus mempergiat usaha membangunkan kemudahan kecerdasan buatan (AI), yang menerima pengiktirafan positif daripada gergasi teknologi Google apabila syarikat tersebut melabur sebanyak RM8.84 bilion di negara ini.
Naib Presiden Google bagi Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam, Karan Bhatia mendedahkan, pendekatan Malaysia dalam membangunkan kemudahan sedemikian adalah sebab utama syarikatnya membuat pelaburan untuk pusat data di Malaysia.
Pelaburan tersebut pada Mei 2024 melibatkan pembangunan pusat data pertama syarikat berkenaan di negara ini serta sebuah kawasan Google Cloud untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan awan tempatan dan global, serta program celik AI untuk pelajar dan pendidik.
Secara keseluruhannya, pelaburan itu dijangka memberi kesan ekonomi lebih daripada RM14.15 bilion dan mencipta 26,500 pekerjaan menjelang 2030. - DagangNews.com








