Perdana Petroleum catat penurunan keuntungan bersih 45% pada 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Petroleum catat penurunan keuntungan bersih 45% pada 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Penyedia perkhidmatan sokongan marin luar pesisir, Perdana Petroleum Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 45% tahun ke tahun bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025).

 

Penyusutan hasil yang sangat rendah itu disebabkan pengurangan ketara pendapatan sewaan kapal pihak ketiga dan kadar penggunaan kapal yang menurun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Perdana Petroleum berkata, keuntungan pada suku tersebut merosot kepada RM41.69 juta, berbanding RM75.8 juta setahun sebelumnya.

 

“Pendapatan seunit saham turun kepada 1.87 sen daripada 3.41 sen. Penurunan ini turut dipengaruhi oleh kerugian pertukaran asing tidak direalisasikan sebanyak RM300,000 berbanding keuntungan RM49.6 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

“Hasil suku juga menurun 13.6% kepada RM109.96 juta daripada RM127.25 juta, akibat pengurangan 54% pendapatan sewaan kapal pihak ketiga kepada RM13.4 juta dan sedikit penurunan kadar penggunaan kapal kepada 75%, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan catering,” kata Perdana Petroleum. 

 

Syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen interim bagi suku berkenaan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, keuntungan bersih syarikat berkurangan separuh kepada RM57.9 juta daripada RM116.58 juta, manakala hasil merosot 34.3% kepada RM230.77 juta daripada RM351.06 juta. 

 

Penurunan ini disebabkan kadar penggunaan kapal keseluruhan yang lebih rendah iaitu 53% berbanding 76% sebelumnya, pengurangan pendapatan sewaan kapal pihak ketiga akibat kelewatan projek oleh syarikat minyak utama.

 

Selain itu, tiga kapal milik kumpulan juga tidak boleh digunakan sementara untuk kerja-kerja penyelenggaraan ‘dry-docking’.

 

Perdana Petroleum menjangka pasaran perkhidmatan sokongan lepas pantai akan terus tertekan susulan aktiviti huluan minyak dan gas Malaysia yang lebih perlahan daripada jangkaan pada 2025. 

 

Walaupun permintaan untuk kapal sokongan lepas pantai kekal kukuh berikutan kerja sokongan platform yang berterusan, syarikat mengakui industri masih menghadapi tekanan kos, pengawasan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang ketat, serta risiko operasi.

 

Pengarah Urusan Perdana Petroleum, Jamalludin Obeng berkata, operasi syarikat kekal mencabar berikutan kadar sewaan kapal yang rendah, turun naik mata wang asing dan ketidakpastian geopolitik yang menjejaskan perbelanjaan pelanggan serta tempoh pelaksanaan kontrak.

 

“Syarikat akan terus memberi keutamaan kepada disiplin operasi dan kecekapan kos untuk kekal berdaya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

 

“Walaupun menghadapi cabaran jangka pendek seperti musim monsun, Perdana Petroleum percaya kekurangan OSV baharu dan bekalan kapal yang terhad akan membantu mengekalkan kestabilan industri dalam jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com