KUALA LUMPUR 7 Mac - Penyasaran semula subisidi petrol RON95 yang dijangka berlaku pada pertengahan 2025 diramal menjadi pengaruh utama kepada peningkatan inflasi, kata RHB Research.
Katanya, selain itu, ia juga akan turut dipengaruhi pengembangan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selain peningkatan permintaan daripada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi dan turun naik harga komoditi global.
"Unjuran inflasi untuk tahun ini bagaimanapun dijangka kekal pada 2.4%.
"Peningkatan inflasi mungkin terhad jika hanya kumpulan pendapatan tertentu yang terjejas oleh inisiatif penyasaran semula subsidi, bermakna baki penduduk tidak seharusnya mengalami peningkatan yang ketara dalam kos sara hidup," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3.00 peratus
Firma penyelidikan itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diramal berkembang pada kadar 5% pada 2025 dengan penunjuk utama mencadangkan pertumbuhan ekononmi mencadangkan ia akan berkembang antara 4.9% hingga 5.1% pada suku pertama tahun ini.
Katanya, kedua-dua faktor luaran dan dalaman akan memacu pertumbuhan itu disokong pembuatan doemstik yang teguh dipacu perbelanjaan serta pelaburan pengguna yang lebih tinggi.
Katanya, ia juga akan didorong pengembangan berterusan dalam aktiviti perdagangan dan pembuatan.
"Secara terperinci, pertumbuhan ekonomi akan disokong kemajuan berterusan dalam projek berbilang tahun, peningkatan pendapatan isi rumah dan keadaan monetari global yang mereda," katanya.
RHB Research bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap risiko luaran terutama melibatkan dasar tarif yang tidak menentu dan kesan yang lebih luas daripada gangguan rantaian bekalan global dan tekanan inflasi.
Katanya, peningkatan ketegangan tarif dalam kalangan ekonomi utama boleh meningkatkan lagi risiko, kerana dasar perlindungan Amerika Syarikat (AS) mungkin mencetuskan tindakan serupa dari negara lain, termasuk China.
"Di sebalik risiko perdagangan dan geopolitik ini, pendirian berkecuali Malaysia dan hubungan perdagangan yang pelbagai meletakkannya dengan baik untuk mengharungi cabaran luaran ini," katanya. - DagangNews.com








