KUALA LUMPUR 5 Jun — Momentum pertumbuhan jualan Padini Holdings Berhad dijangka terjejas sedikit pada suku seterusnya disebabkan penutupan dua cawangannya di Thailand baru-baru ini, menurut AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, operasi kedai berkenaan terpaksa ditutup berikutan prestasi permintaan jualan amat rendah selepas pernah melaksanakan perkara sama melibatkan sebuah cawangan di negara itu pada akhir 2024.
Thailand katanya, sebelum ini memiliki tujuh cawangan Padini namun langkah penutupan tersebut menurut kumpulan peruncit fesyen berkenaan hanya merupakan sebahagian daripada strategi perniagaannya di pasaran luar negara.
"Pertumbuhan jualan pada tempoh sembilan bulan untuk tahun kewangan 2025 adalah sederhana iaitu 1.0 peratus tahun ke tahun (YoY) ekoran tiada perayaan utama antara April hingga Jun," kata AmInvestment dalam nota kajiannya.
Padini namun turut melaksanakan pembesaran cawangan dengan membuka 11 kedai pada 9MFY25, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 164 dan langkah itu berjaya menjana margin kasar pada 3QFY25 meningkat 41 peratus.
Ia sebenarnya rekod tertinggi dalam sejarah lima tahun dan pengurusannya turut menjangkakan margin kasar kekal di atas paras normal sebanyak 36 peratus untuk tempoh terdekat di sebalik cabaran perbelanjaan ketat para pengguna.
Kumpulan berkenaan kata AmInvestment turut dibantu faktor kadar tukaran mata wang ringgit yang menguntungkan berbanding yuan China kerana kerana kira-kira 50 peratus daripada produk runcitnya diimport dari negara tersebut.
Selain itu tambah firma berkenaan, pelancaran beberapa produk baharu baru-baru ini, antaranya Hello Kitty, Disney, dan Pokémon serta pelbagai jenama fesyen aktif, turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil Padini sendiri.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham Padini tetapi menaikkan harga sasarannya kepada RM2.30 berbanding RM2.00 sebelum ini. - DagangNews.com








